Mana bantuan dijanjikan?
15 Mei 2012
Hasan berkata, sebelum ini, pihak berkenaan ada berjanji untuk memberi bantuan baik pulih bumbung, namun sehingga kini masih tidak diterima.
Menurutnya, kejadian yang berlaku pada Mac lalu merosakkan sebahagian rumahnya termasuk perabot dan barang elektrik.
“Sebelum ini, saya memang menerima bantuan ihsan daripada pihak Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000, tetapi bantuan baik pulih bumbung belum diterima walaupun ia diperlukan segera,” katanya.
Hasan berkata, pihak berkaitan ada berjanji untuk memberi peruntukan sebanyak RM20,000 bagi bantuan baik pulih bumbung pada majlis penyampaian bantuan mangsa ribut di Balai Raya Dangi, baru-baru ini.
“Saya tunggu juga jika ada berita gembira berhubung perkara tersebut, namun sehingga kini belum ada jawapan.
“Saya tidak mahu menuding jari pada mana-mana pihak tetapi saya mengalami kesulitan berikutan terpaksa menumpang tidur di rumah saudara dan sering berpindah randah,” katanya.
Hasan berkata, keadaan rumah yang kini diduduki seramai tujuh orang bersama isteri dan anak-anak tidak sempurna.
“Rumah tumpangan ini banyak rosak, bumbung rumah juga sudah bocor malah binatang berbisa seperti lipan sering memasuki rumah ini.
“Saya kasihan melihat isteri yang sudah sarat mengandung begitu juga dengan cucu saya yang baru berusia dua bulan terpaksa tidur dalam keadaan serba kekurangan. Sebelum ini, kami tumpang rumah lain tetapi tuan rumah meminta sewa RM300, kami tidak mampu dan terpaksa keluar dari situ lalu menumpang rumah saudara,” katanya.
Hasan berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan sementara di sekolah kebangsaan sekitar Dangi dan Johol tidak mampu membaiki sendiri kerosakan tersebut.
“Saya tidak mampu baiki sendiri bumbung yang rosak kerana pendapatan tidak seberapa. Tambahan pula, isteri seorang suri rumah dan tidak lama lagi kami akan menimang cahaya mata.
“Saya berharap sangat pihak berkaitan dapat menyegerakan baik pulih bumbung supaya kami sekeluarga dapat hidup selesa,” katanya.
Katanya, selain bumbung, dinding rumahnya juga perlu ditukar kerana sudah reput dimakan anai-anai.
“Dulu, isteri pernah mohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin, namun tiada jawapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment