Tuesday, May 22, 2012

botol

ARKIB : 20/05/2012

Bertarung dengan ular kerana botol

SHAZRIN turut menghias botolnya dengan papan beserta penerangan sesuai untuk mereka yang mahu menyimpannya sebagai dekorasi ruang.
MENCANGKUL tanah di sekitar kilang terbiar, dikejar anjing garang, malah berdepan dengan ular demi mendapatkan botol yang tertanam di dalam tanah, siapa yang mendengar pasti merasakan semua itu kerja gila.
Namun tidak bagi sekumpulan lelaki yang digelar Botologi Malaya, kerja gila yang dilakukan itu memberi suatu kepuasan yang maksimum, lebih-lebih apabila menemui botol minuman air berkarbonat yang berusia hingga ratusan tahun.
Cerita Megat Shazrin Khalid, bersua dengan ular merupakan pengalaman menakutkan tetapi tidak sesekali membuatkan dia gentar untuk terus memburu 'harta karun' yang amat bernilai baginya dan empat rakan yang berkongsi minat sama.
"Setiap kali menggali, tangan kanan saya akan memegang cangkul dan tangan kiri pula kemas memegang parang takut-takut bersua dengan ular yang berbisa sekali lagi.
"Mungkin kerana keadaan sejuk di kawasan yang dilonggokkan dengan botol-botol terbuang membuatkan ular suka berada di sana tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan aktiviti kami," ujarnya yang telah menjelajah hampir sekitar Semenanjung Malaysia bagi melunaskan tuntutan hobinya itu.
Shazrin yang memiliki hampir 5,000 biji botol minuman air berkarbonat turut memiliki sebiji botol dipercayai keluaran 1800-an iaitu botol jenama Schweppes yang ditemuinya di Sungai Melaka ketika proses pembersihan sungai dilakukan sekitar tiga tahun lalu.
KagumMempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang grafik dan pengiklanan membuatkan Shazrin amat mengagumi reka bentuk botol-botol kaca yang sentiasa berubah seiring dengan peredaran zaman.
Bercerita bagaimana minat uniknya itu bercambah, ujar Shazrin, semuanya bermula pada 1996 ketika dia bertugas sebagai kru penggambaran sebuah drama di Sungai Bil, Perak.
Ketika menggali tanah di set pengambaran itu, cangkulnya terkena sebiji botol air Coke lama yang unik bentuknya tetapi ia tidak pecah kerana kacanya yang tebal.
Teruja melihat botol antik keluaran 1930-an itu, Shazrin terus jatuh cinta dengan botol minuman air berkarbonat membuatkan dia memburunya di kedai-kedai antik dan kedai-kedai runcit di kawasan kampung.
Sehinggalah dia bertemu dengan Datuk Profesor Sharif pada 1999 yang turut mengumpul botol sejak muda dan mengajarnya cara mendapatkan botol antik iaitu dengan mencarinya di tapak pembuangan botol dan sekitar kilang air botol lama di kawasan kampung yang telah ditutup.
Dia yang turut berniaga barangan antik di Garage Sale di Anggerik Mall, Shah Alam yang diadakan setiap Ahad berkata, selain jenama antarabangsa seperti Coke, Mirinda, Pepsi dan F&N, jenama tempatan turut menjadi sebahagian koleksinya seperti Long Chan dari Melaka, Kastori (Kelantan), Sultan Aerated Water (Johor) dan Kinta Aerated Water (Perak).
"Pernah sekali cucu kepada pemilik air berkarbonat Poh Sew Taiping bertemu dengan saya kerana mahu membeli koleksi saya sebagai hadiah buat ibunya yang telah tua tetapi saya tidak menjualnya kerana saya hanya memiliki sebiji saja botol berkenaan dan ia antara yang paling saya sayang," ujarnya yang memuat naik gambar dan maklumat botol-botolnya di dalam laman blognya.

No comments:

Post a Comment