Monday, May 14, 2012

miskin pun kena pukul

Dakwa dipukul akibat miskin
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Dakwa dipukul akibat miskin
Laporan polis dibuat bagi mendapatkan keadilan dan tidak mahu diganggu

MANJUNG - “Mungkin hanya kerana kami orang miskin, mereka tidak suka dan bertindak memukul saya walaupun saya sudah merayu minta dihentikan,” luah seorang ibu muda yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 32.

Nor mendakwa dipukul oleh adik dan adik iparnya dalam satu pergaduhan sehingga menyebabkan dia cedera di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia berada di rumah ibunya dan adik iparnya bertindak menolak serta memukulnya.

“Pada ketika itu saya sedang mendukung anak kecil dan tidak mampu untuk melawan tetapi adik saya pula masuk campur dengan turut memukul saya.

“Saya merayu-rayu supaya tidak dipukul tetapi mereka tidak mengendahkan jeritan saya sehingga saya jatuh bersama anak yang didukung,” katanya.

Nor berkata, mereka memang mempunyai krisis keluarga dan tidak menyangka sehingga membawa kepada kejadian pergaduhan seumpama itu.

“Mereka memang tidak menyukai saya dan suami kerana kami orang miskin dan mempunyai ramai anak iaitu enam orang.

“Salah seorang daripada anak kami diambil oleh kakak untuk dijaga kerana dia tidak mempunyai anak lelaki,” katanya.

Katanya, selepas kejadian pergaduhan itu pada 8 Mei lalu, dia bersama suaminya, telah membuat laporan polis.

“Saya membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan bagi pihak saya kerana sering ditindas gara-gara kesusahan yang dialami.

“Kami berharap agar perkara ini dapat dicari penyelesaian dan bukannya kami tidak pernah cuba untuk berdamai tetapi pasti ada halangan,” katanya.

Sementara itu, dia bersama anak-anak dan suaminya terpaksa menumpang di rumah adik iparnya kerana tidak mahu diganggu oleh ahli keluarganya.

“Sebelum ini, kami tinggal di Kampung Baru dan kini terpaksa menumpang sementara di rumah adik suami supaya tidak diganggu,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa ketika dihubungi memaklumkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment