Thursday, May 24, 2012

tak beli kena bayar hutang

Maklumat peribadi dimanipulasi sehingga mangsa disenarai hitam
AZLINA OTHMAN
23 Mei 2012
Maklumat peribadi dimanipulasi sehingga mangsa disenarai hitam
Kaw Meng bersama Shahrudin (kanan) ketika ditemui
KULAIJAYA - Seorang pemandu teksi mendakwa mengalami pelbagai kesulitan selepas maklumat peribadinya dimanipulasikan pihak ketiga sehingga dirinya pernah disenaraihitamkan dan diisytiharkan muflis.

Shahrudin Hussin, 56, berkata, kejadian itu disedarinya pada tahun 2006 apabila pihak bank meminta menjelaskan bayaran bulanan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak pernah dibelinya.

Malangnya katanya, dia juga diarahkan pihak bank untuk melunaskan bayaran semula pinjaman kad kredit yang digunakan pihak ketiga walaupun tidak pernah membuat permohonan menggunakannya.

“Saya mendapati pihak ini menggunakan maklumat peribadi saya untuk membeli kereta dan memohon dua kad kredit. Saya tidak pernah membeli kereta MPV dan menggunakan kad kredit.

“Oleh kerana tunggakan pembayaran kereta dan kad kredit enggan saya bayar, nama saya disenaraihitamkan oleh pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat rujukan kredit, Credit Tip Off Sdn Bhd (CTOS).

“Pihak ketiga ini menggunakan maklumat peribadi dan memalsukan tandatangan saya. Akhirnya, segala masalah datang kepada saya sedangkan saya tidak tahu apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pusat khidmat wakil rakyat kawasan Senai di Indahpura, di sini, semalam.

Shahrudin berkata, timbul kebimbangannya jika pihak terbabit menyalahgunakan maklumat peribadi untuk kegunaan yang menyalahi undang-undang negara.

“Dengan kereta yang dibeli pihak terbabit, saya menanggung saman sehingga sukar untuk memperbaharui cukai jalan milik sendiri.

“Sedangkan dia tidak membayar hutang bulanan kereta, bank sudah mencari saya. Inikan pula kes-kes lain. Sukar untuk saya tidur nyenyak. Bimbang-bimbang berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrudin berkata, pihak bank sudah membatalkan liabilitinya, malah menjelaskan tiada lagi tanggungan ke atas akaun pinjaman sewa beli, sekitar tahun 2009.

“Namun begitu, saya masih tidak boleh membuat pinjaman peribadi secara mudah. Hal ini mungkin kerana nama saya masih belum dibersihkan di peringkat CTOS lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kaw Meng berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi menyiasat kes terbabit secara sepenuhnya dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

No comments:

Post a Comment