Penyamun mati terjun longkang
22 Mei 2012
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, lelaki berumur 29 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu cuba memecah siling rumah milik bekas tentera di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman, namun perbuatannya itu disedari pemilik rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata, pemilik rumah berkenaan yang keluar ke halaman setelah mengesyaki rumahnya cuba dipecah masuk, ternampak kelibat penyamun di atas bumbung.
Katanya, pemilik rumah yang merupakan bekas anggota tentera berumur 43 tahun itu menyergah suspek yang menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri dengan terjun dari bumbung rumah berkenaan.
"Ketika melarikan diri, suspek terjun ke dalam longkang besar tidak jauh dari rumah itu dan ketika terjun, kepalanya dipercayai terhantuk ke dinding konkrit longkang yang dipenuhi air separas pinggang menyebabkannya terus tenggelam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Manoharan berkata, pemilik rumah berkenaan cuba menyelam untuk menyelamatkan suspek namun gagal.
Mayat lelaki itu ditemui di dasar longkang oleh polis yang tiba sejurus dimaklumkan mengenai kejadian, katanya.
Manoharan berkata mayat dihantar ke Hospital Kemaman dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment