Anggota polis ditangkap khalwat cedera dibelasah
TELUK INTAN 28 Sept. - Gara-gara berkhalwat dengan isteri orang, seorang anggota polis cedera parah apabila dibelasah penduduk kampung selepas ditangkap berdua-duaan di sebuah rumah di Jalan Changkat Jong di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, sekumpulan penduduk kampung gagal menahan kemarahan apabila mendapat tahu seorang anggota polis berketurunan India berusia 50-an dan bertugas di Balai Polis Labu Kubong dekat sini, berdua-duaan dengan seorang wanita Melayu beranak 10 di sebuah rumah.
Bertindak atas maklumat, mereka kemudian pergi ke rumah wanita itu dan sebaik sahaja pintu dibuka, mereka melihat seorang lelaki India dengan hanya memakai kain pelikat.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, ketika ditanya wanita tersebut mengakui lelaki itu bukan suaminya malah ketika mereka ditangkap, terdapat tiga orang kanak-kanak dipercayai anak kepada wanita berkenaan di rumah berkenaan.
"Kita mengesyaki perkara ini telah banyak kali berlaku dan pernah menegur mereka sebaliknya kami dimarahi," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, akibat tangkapan itu, berlaku satu pertengkaran antara lelaki tersebut dengan penduduk kampung sehingga menyebabkan pergaduhan dan akhirnya mengakibatkan lelaki berkenaan cedera di muka.
"Pasangan terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Teluk Intan untuk disoal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menjelaskan satu siasatan sedang dilakukan.
No comments:
Post a Comment