Saturday, September 18, 2010

Jangan Turutkan Hati

Gadis diminta putus tunang dua kali cuba bunuh diri


2010/09/18

KOTA KINABALU: Lantaran terlalu kecewa serta tidak dapat menerima hakikat dirinya bukan pilihan sebagai calon menantu, seorang gadis bertindak mengelar perut sendiri selain minum minyak pelincir.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di Kampung Tigot di sini, gadis berusia 17 tahun itu ternyata masih panjang umur kerana tindakan bodohnya itu disedari ibunya, lalu segera menghantarnya ke hospital untuk rawatan.

Gadis berkenaan sebelum itu hilang pertimbangan berikutan kecewa apabila ibu tunangnya meminta dia memutuskan pertunangan dengan anaknya kerana tidak menyukainya.


Berasa terhina dengan kata-kata ibu tunangnya, mangsa cuba membunuh diri dengan mengelar perut menggunakan kaca cermin yang dipecahkan, namun perbuatannya itu disedari ibunya yang terdengar jeritan mangsa.


Perbuatannya itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan serius di perutnya sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.


Bagaimanapun, tindakan mangsa tidak berakhir di situ kerana selepas dibenarkan pulang, gadis berkenaan sekali lagi memberikan kejutan kepada keluarganya apabila meminum minyak pelincir kenderaan ketika berada bersendirian di dalam biliknya.


Perbuatan gadis berkenaan sekali lagi disedari ibunya selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila anaknya itu berdiam diri di dalam bilik sebelum membawanya ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sudah merekodkan kenyataan daripada gadis terbabit.


“Siasatan awal polis mendapati mangsa bertindak sedemikian berikutan mengalami tekanan perasaan akibat tidak disukai ibu tunangnya.


“Mangsa bertindak mengelar sendiri perutnya dengan cermin, namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira sejam kemudian. Namun, kira-kira jam 9 pagi keesokan harinya, dia sekali lagi cuba membunuh diri dengan meminum bahan pelincir motosikal.


“Mujur, perbuatannya itu sekali lagi disedari ibunya. Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan lanjut di hospital. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment