Thursday, September 2, 2010

Kek Lapis



Jatuh cinta setelah merasainya

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my

Pekerja ARF Best Food menyediakan lapisan kek mengikut warna yang dikehendaki pelanggan.


Zaveen Lee menunjukkan kek lapis keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

JOHOR BAHRU 1 Sept. - Warna yang ceria dengan pelbagai corak membuatkan Zaveen Lee jatuh hati pada kek lapis Sarawak, meskipun dia bukan berasal dari Bumi Kenyalang.

Keunikan kek lapis Sarawak berbanding kek lain, membuatkan wanita berusia 39 tahun itu berminat untuk menghasilkan sendiri kek berkenaan.

Menurut Zaveen, semuanya bermula setelah seorang rakannya memperkenalkan keenakan kek lapis Sarawak kepadanya.

"Bila makan sedap, saya pun teringin nak buat sendiri. Mula-mula buat memang susah, sebab kek lapis ini lama nak siap. Adakalanya, saya ambil masa dua hari untuk siapkan," katanya.

Zaveen yang ditemui di kedainya, di Taman Baiduri, Perling di sini berkata, pada mulanya dia menjual kek lapis Sarawak dari rumah pada 2004 kepada rakan-rakan dan saudara mara.

Kini perniagaan kek lapis Sarawak buatan Zaveen yang dikenali dengan jenama Royal Indulgence berjaya dijual kepada orang ramai dalam 35 perisa.

Pemilik syarikat ARF Best Food itu berkata, hingga kini dia mempunyai kira-kira 30 ejen tetap yang mengambil tempahan kek lapis Sarawak daripadanya tanpa mengira musim.

Antara ejennya adalah di sekitar Johor Bahru, Batu Pahat, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.

"Ada yang menjadi ejen setelah merasai kek tersebut dan ada pula memohon untuk jadi ejen setelah membaca iklan yang saya buat dalam Internet.

"Disebabkan ramai ejen yang datang tidak menentu masa, saya memerlukan banyak tempat penyejuk beku. Sekarang ini saya ada lapan buah tempat penyejuk beku. Setiap satu penyejuk beku berharga kira-kira RM1,800," katanya.

Menurut wanita berasal dari Bukit Beruang, Melaka itu, kek lapis berkenaan perlu disimpan di dalam tempat sejuk beku bagi memastikan kualitinya terjamin.

Katanya, kek lapis yang disimpan dalam peti ais biasa hanya bertahan untuk tempoh sebulan, manakala di tempat sejuk beku, jangka hayat kek lapis boleh bertahan hingga setengah tahun.

Zaveen yang memeluk Islam lapan tahun lalu di Singapura berkata, walaupun menghasilkan 35 jenis kek, namun kek lapis masam manis dan coklat chip mempunyai permintaan tinggi.

Bercerita mengenai kepelbagaian corak kek lapis buatannya, Zaveen berkata, dia banyak melihat corak di dalam Internet.

"Memang pening kepala kalau nak fikir corak terbaru. Sebab itulah saya sering melayari Internet untuk melihat hasil orang lain. Apabila mendapat idea, saya akan ubah mengikut corak sendiri," katanya.

Menurutnya, paling banyak warna yang digunakan untuk menghasilkan corak adalah sembilan warna yang digunakan untuk kek lapis puncak kasih.

Katanya, pemilihan dan aturan warna turut membantu untuk menonjolkan keunikan corak kek berkenaan.

Zaveen yang mempunyai 10 pekerja dan lima daripadanya adalah pekerja sementara mengakui tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan sempena sambutan Hari raya Aidilfitri ini.

"Tempahan dibuka sejak bulan Julai lepas. Tidak cukup tangan saya dan pekerja hendak buat kerana untuk pelanggan tetap sahaja, kami perlu siapkan 2,000 buku kek untuk jualan raya.

"Walaupun tempahan telah ditutup, tapi kalau ada yang datang ke kedai untuk membeli, masih ada kerana saya memang sudah sediakan untuk pembeli walk in," katanya yang melabur sebanyak RM50,000 untuk memulakan perniagaan itu.

Zaveen berkata, walaupun terdapat saingan pasaran kek lapis Sarawak, dia tidak bimbang kerana pengguna lebih mengutamakan kualiti.

Kek buatannya dijual pada harga antara RM25 hingga RM60 bergantung jenis dan berat.

"Itu adalah harga standard seperti yang ditawarkan oleh penjual kek lapis lain di pasaran," katanya yang sering menerima kunjungan pelawat dari Singapura.

Bagi yang ingin menikmati keenakan kek lapis Royal Indulgence, boleh membuat tempahan menerusi talian 016-7227545 atau datang ke kedai di No. 18 Jalan Baiduri 1/2, Taman Baiduri, Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment