Racun kupas kulit
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
2010/09/03
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat kosmetik terkemuka yang beroperasi sejak 10 tahun lalu diserbu penguat kuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam kerana membawa masuk secara pukal produk kecantikan beracun berkonsepkan ‘kupas kulit.’
RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.
Berdasarkan siasatan, produk kosmetik yang diimport itu dibuat menggunakan bahan kimia berbahaya iaitu hidroquinone dan tretinoin yang diharamkan di negara ini selepas ia didapati boleh merosakkan kulit wajah selain menjadi punca kanser jika dipakai berterusan.
Sumber KKM berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan serbuan kira-kira jam 11 pagi di semua cawangan di seluruh negara termasuk ibu pejabat syarikat kosmetik terbabit di sini.
“Berdasarkan ujian makmal, produk terbabit mengandungi hidroquinone dan tretinoin dalam kadar peratusan tinggi. Kesannya, pengguna akan mengalami kesan kulit mengelupas dan menjadi kemerah-merahan yang melampau.
“Hasil serbuan, KKM merampas losen yang mengandungi kimia berbahaya terbabit dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.
Menurutnya, hidroquinone dan tretinoin boleh mengakibatkan gatal, perubahan warna kulit dan kulit menjadi terlalu sensitif.
“Bahan kimia itu menyerap ke saluran darah dalam jumlah besar sehingga mendatangkan pelbagai kesan seperti pertuturan yang sukar difahami, muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan dan koma akibat kegagalan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan kesan keradangan dan barah kulit,” katanya.
Sumber itu berkata, kebanyakan pengguna yang memakai kosmetik mengandungi kimia itu biasanya akan terpedaya apabila merasai perubahan pada tona wajah mereka yang semakin cerah selepas beberapa hari memakai krim kosmetik itu.
“Tona kulit mereka akan berubah seolah-olah menjadi putih dan bersih, tapi ia tidak akan kekal lama kerana keadaan itu akibat hakisan lapisan kulit yang belum sempat matang. Dalam tempoh singkat apabila didedahkan kepada cahaya matahari, kulit itu akan menjadi buruk dan terbakar,” katanya.
Menurutnya, pengedar cuba mengelirukan pengguna dengan mendakwa losyen wajah itu dihasilkan daripada bahan semula jadi terpilih.
“Berdasarkan maklumat pada botol produk itu, ia didakwa berupaya menghilangkan kesan jeragat dan jerawat pada wajah pengguna tanpa mudarat.
“Jadi, pengeluar produk itu melakukan kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.
Sumber itu berkata, pejabat pengeluar produk terbabit pernah diserbu beberapa kali, namun mereka berdegil.
No comments:
Post a Comment