Peguam terjerat
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/09/28
KUALA LUMPUR: Seorang peguam ditahan selepas disyaki terbabit dengan penipuan jual beli tanah berharga RM15 juta, pagi semalam.
Peguam berusia 50-an terbabit turut memperdaya kakitangan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu selain memperdaya beberapa mangsa yang berurusan dengannya.
Bagaimanapun, peguam terbabit yang mempunyai modus operandi hampir sama dengan suspek utama yang membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya terjerat selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu rumahnya di Sunway, Subang Jaya, di sini.
Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar, berkata suspek utama terbabit ditahan.
Menurutnya, siasatan polis mendapati peguam berpengalaman terbabit mempunyai kemahiran memalsukan dokumen termasuk geran tanah untuk memperdaya mangsa dan pegawai kerajaan yang menguruskan pindah milik tanah berkenaan.
Ditanya sama ada suspek terbaru yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan peguam dua beradik yang disyaki membunuh Sosilawati pada 30 Ogos lalu, beliau bagaimanapun menafikan kedua-dua kes terbabit mempunyai kaitan.
Beliau berkata, polis memandang serius kes jenayah membabitkan peguam yang disifatkan sebagai golongan profesional berwibawa dan dipercayai orang ramai.
“Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan.
“Daripada jumlah itu, 10 peguam ditahan di Selangor, lapan di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga (Perak), tiga (Negeri Sembilan) dua (Pulau Pinang), empat (Kedah) dan satu (Melaka),” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, pagi semalam.
Menurutnya, semua peguam terbabit ditahan atas pelbagai jenayah antaranya pecah amanah, pemalsuan, penipuan selain pemalsuan afidavit.
“Sehingga kini, polis masih menyiasat 290 kes jenayah membabitkan semua peguam berkenaan yang disyaki melakukan penipuan terancang terhadap ramai mangsa.
“Situasi ini amat mengecewakan berikutan profesion sebagai peguam amat dipercayai masyarakat. Berikutan itu, golongan berkenaan diberikan amanah tinggi oleh pelanggan. Namun, sebaliknya peguam terbabit mengkhianati kepercayaan orang ramai dengan melakukan aktiviti pecah amanah,” katanya.
Menurutnya, golongan terbabit akan terus dipantau dan tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati melakukan jenayah.
Isu sama turut pernah dibangkitkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar minggu lalu yang memberitahu pihaknya sudah membuka 72 kertas siasatan berhubung kes salah laku dan penyelewengan di kalangan peguam sejak 10 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment