Suami kalah judi, tipu isteri konon diculik ah long
BATU PAHAT 28 Sept. - Hanya kerana kalah berjudi di Genting Highlands, seorang ahli perniagaan di sini, sanggup menipu isterinya sendiri dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya dia diculik oleh ah long.
Lebih teruk lelaki berusia 37 tahun itu, sendiri menyamar sebagai ceti haram tersebut dan meminta isterinya membayar hutang pinjaman sebanyak RM25,000 bagi membebaskan dirinya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, isteri suspek berusia 35 tahun menerima beberapa SMS berbaur ugutan itu pukul 5 petang, Jumaat lalu.
Katanya, bimbang dengan keselamatan suaminya, wanita yang merupakan pekerja kilang itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada polis.
"SMS-SMS tersebut meminta wanita itu memasukkan wang yang diminta ke dalam satu nombor akaun bank.
"Hasil siasatan, polis mengesan kedudukan telefon bimbit Nokia yang menghantar SMS itu lalu menyerbu sebuah hotel di Genting Highlands, pukul 1 pagi, kelmarin.
"Soal siasat seterusnya mendapati suspek sendiri menghantar SMS-SMS itu dan polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ibrahim berkata, polis menahan lelaki itu dan menyiasat kes tersebut sebagai jenayah pemerasan.
No comments:
Post a Comment