Saturday, August 28, 2010

Jadikan Adik Hamba Sex


BACHOK 27 Ogos - Sudahlah menjadi mangsa nafsu serakah abang kandung, bapa yang diharapkan menjadi tempat mengadu pula membelasah mereka.

Sukar hendak digambarkan penderitaan yang ditanggung lima beradik berumur 5 hingga 16 tahun di Kampung Saador dekat sini sejak lima tahun lalu.

Setiap kali mengadu dirogol oleh abang kandung sendiri, mangsa akan dipukul dan dibelasah teruk oleh bapa mereka berusia 43 tahun yang dipercayai penagih alkohol dan dadah.

Selain dirogol dan dipaksa melakukan seks oral, kemaluan mangsa turut disumbat dengan botol arak oleh abang mereka yang berumur 18 tahun, malah diugut bunuh jika cuba melawan.

Kejadian itu dikatakan berlaku semasa ibu mereka keluar bekerja di sebuah pasar raya dekat sini.

Akibat tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung, tiga daripada mereka yang berumur 5, 14 dan 16 tahun bertindak nekad melarikan diri petang semalam.

Ketiga-tiga beradik ini ditemui seorang kariah Masjid Kedai Lalat yang terletak hampir 20 kilometer dari rumah mangsa dalam keadaan kepenatan dan kelaparan ketika umat Islam lain sedang menikmati juadah berbuka puasa.

Kariah tersebut, Abdullah Harun, yang bersimpati dengan ketiga-tiga beradik itu kemudian membawa mereka balik ke rumahnya kira-kira pukul 8 malam untuk berbuka puasa.

Mereka kemudian dihantar ke rumah Penghulu Kampung Cawangan Tok Ku, Mat Rani Ibrahim, 61, sebelum laporan polis dibuat.

Ketika ditemui wartawan di rumah tersebut, ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan trauma, malah mangsa yang berumur 5 tahun, tidak henti-henti menangis dan seringkali menekup wajahnya dengan kain tudung.

Menceritakan penderitaan yang dialami, seorang daripada mangsa berumur 14 tahun yang masih lengkap berpakaian sekolah berkata, dia nekad melarikan diri bersama adik dan kakaknya untuk mencari perlindungan.

"Saya bawa adik dan kakak menyelamatkan diri kerana ketika balik ke rumah, saya lihat ayah sedang mabuk dan memegang kayu di tangan yang pasti akan digunakan untuk memukul kami.

"Kami tidak tahu apa nasib dua adik-beradik perempuan lain berusia 12 dan 9 tahun kerana mereka berdua sedang bersekolah ketika itu dan berharap kedua-duanya selamat," katanya ketika ditemui di rumah penghulu berkenaan di sini semalam.

Anak ketiga daripada enam beradik ini yang bersekolah di sebuah sekolah agama berhampiran rumahnya mendakwa, dia telah dirogol abang kandungnya itu lebih 20 kali sejak berusia 9 tahun.

Dakwanya, dia juga pernah melihat adik bongsunya dirogol dan ketika cuba menghalang, dia sendiri dibelasah teruk sehingga pengsan.

Dia mendakwa, kakaknya yang berumur 16 tahun telah berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu kerana terpaksa menjaga adik bongsunya.

Dakwanya lagi, dia terpaksa bekerja mengambil upah membasuh pinggan di sebuah gerai selepas waktu sekolah dengan gaji RM10 sehari untuk menyara kehidupan mereka lima beradik.

Bagaimanapun, dakwanya, ayahnya selalu 'merampas' separuh daripada duit gaji yang diperoleh setiap hari semata-mata untuk membeli arak.

"Ayah tidak pernah menjaga kami dengan baik malah hampir setiap hari dia akan menelan pil kuda dan meneguk arak sampai mabuk.

"Bila tidak ada duit, gaji adik saya yang sepatutnya untuk menyara kami dirampas dan digunakan untuk membeli arak atau dadah," ujarnya dengan suara tersekat-sekat.

Menurut mangsa, abangnya telah ditahan pihak berkuasa dipercayai kerana penyalahgunaan dadah lima hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment