Friday, August 13, 2010

Pencuri Biasa-Biasa Saja Kena Jel Satu Tahun

KUALA LUMPUR: Terlalu ‘cerdik’ hingga memakan diri. Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki warga Pakistan yang dipenjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Bashir Ahmad, 23, selepas mengaku salah mencuri kereta Nul Linda Tan Kim Siew, 49, bernilai RM40,000 di tempat letak kereta masjid Abdul Rahman Bin Auf, Batu 6 1/2, Jalan Puchong, Brickfields dekat sini, antara jam 5.45 hingga 6.45 pagi, pada 28 Julai lalu. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan kedua iaitu menetap di negara ini melebihi tempoh dan dihukum penjara empat bulan. Bagaimanapun, hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Bashir mencuri kereta itu ketika suami pemilik kereta, Muhamad Faizal Lee sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid. Tertuduh memberi nota mengandungi nombor telefon kepada pemilik kereta itu di masjid yang sama sehari selepas mencuri kereta berkenaan semata-mata untuk meminta wang daripada mangsa sekiranya mahukan keretanya semula.

Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertuduh dan tertuduh sempat menghantar pesanan khidmat multimedia (MMS) bagi membuktikan memang dia yang mencuri kereta berkenaan. Tertuduh kemudian meminta RM500 daripada mangsa. Terdahulu dalam rayuannya tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepadanya.


“Saya bukan profesional. Saya hanya pencuri biasa-biasa saja,” katanya dalam bahasa Melayu yang kurang fasih. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Dr Ghanti Nathan.

No comments:

Post a Comment