Monday, August 30, 2010

kelab vespa


KUALA TERENGGANU 29 Ogos - Seorang mekanik, Mohd. Nazri Ismail, 33, menterjemahkan rasa bangganya menjadi rakyat Malaysia dengan menghias vespa miliknya dengan lukisan Jalur Gemilang dan 1Malaysia.

Dia mengambil masa selama seminggu untuk menghias kenderaan itu sebagai tanda bersama meraikan kemerdekaan negara yang ke-53.

Katanya, walaupun kos hampir RM3,000 dibelanjakan bagi tujuan itu, dia tidak menganggapnya membazir kerana ia sebagai tanda rasa cintanya pada negara.

"Setiap tahun saya memang memperuntukkan sedikit bajet untuk menghias vespa ini.

"Pada tahun lalu, saya melukis lima wajah perdana menteri di motor ini manakala tahun ini saya amat mengagumi konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jadi saya mengambil konsep berkenaan untuk dibuat di vespa ini," katanya ketika ditemui di Gong Badak dekat sini hari ini.

Mekanik itu menceritakan, idea menghias vespanya timbul apabila melihat kurangnya minat generasi kini untuk menghargai hari kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan, kediaman dan premis mereka.

Tambahnya, melalui pendekatan menghias Jalur Gemilang di motosikal diharap dapat memberi contoh kepada muda-mudi pada masa kini.

"Saya menggunakan motosikal sebab lebih mudah untuk dilihat serta dicontohi oleh remaja-remaja untuk menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang terutama di kenderaan mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua anak ini turut meminta orang ramai tidak lokek untuk mengeluarkan sedikit wang untuk membeli Jalur Gemilang dan bukannya berharap ia diberi percuma.

"Seharusnya Jalur Gemilang dan poster kemerdekaan negara digantung di sepanjang jalan dan rumah seperti ingin mengadakan pilihan raya bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan selain memupuk semangat cintakan tanah air kepada sesiapa yang melihatnya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment