Wednesday, August 25, 2010

Mengemis Boleh Kaya

KUALA LUMPUR: RM16,000 sebulan. Itulah pendapatan lumayan pengemis berikutan sikap terlalu pemurah masyarakat negara ini yang mudah terpedaya dengan ‘lakonan’ golongan itu.

Oleh Suraya Roslan surayaroslan@hmetro.com.my Ini terbukti dengan penahanan 14 warga China menjadi pengemis dalam satu serbuan di rumah flat di Jalan Sultan Abdul Samad Brickfields, tengah malam kelmarin.

Seramai 10 lelaki dan empat wanita China berusia 40 hingga 80 tahun ditahan dalam Ops Sapu itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengemis lebih setahun lalu. Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohd Sufian Omar berkata, serbuan itu dilakukan atas maklumat awam mengenai satu sindiket pengemis warga asing menghuni kawasan berkenaan. “Dalam serbuan kira-kira jam 12.25 tengah malam itu, sepasukan penguat kuasa menjalankan intipan terlebih dahulu sebelum menyerbu penginapan pengemis berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui wang RM16,000 dalam pelbagai not dan wang syiling yang diletakkan di dalam karung disyaki hasil kegiatan mengemis.


“Ini tangkapan terbesar tahun ini. Pemeriksaan lanjut mendapati 10 orang daripada mereka didapati memiliki dokumen perjalanan yang tamat, manakala empat lagi masih mempunyai pas lawatan yang sah,” katanya. Mohd Sufian berkata, pihaknya mengenal pasti seorang lelaki dikenali Mr Chan menjadi dalang mengarahkan semua warga China terbabit menjalankan kegiatan mengemis di sekitar ibu kota. Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai masih belum diperoleh.


“Kami anggarkan mereka mampu mengaut keuntungan RM800 hingga RM1,000 sehari bagi seorang pengemis dengan mencari kawasan tumpuan pelancong seperti di Jalan Petaling dan Pasar Seni,” katanya.


Beliau berkata, hasil temubual dengan seorang pengemis terbabit, pihaknya mendapati mereka mungkin ditipu rakan senegara yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan di negara ini. “Akhirnya mereka mengemis apabila tiada sumber kewangan untuk menampung hidup masing-masing.


“Mereka mampu memperoleh pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan kerana sikap masyarakat kita yang terlalu pemurah memberi wang kepada mereka. Sikap masyarakat yang mudah tersentuh dengan kesusahan pengemis menyebabkan mereka berani mengemis walaupun pelbagai tindakan diambil pihak berkuasa,” katanya. Menurutnya, keadaan itu juga mengakibatkan wujudnya pengemis warga asing yang menggunakan pelbagai taktik mengemis seperti berlagak orang cacat dan menjual barangan seperti tisu atau kalendar padahal pendapatan mereka mencecah ribuan ringgit.

No comments:

Post a Comment