Saturday, August 14, 2010

Nak Menderma Pun Kena Tipu

KUALA TERENGGANU: Niat murni seorang wanita membantu mengagihkan dana bantuan antarabangsa kepada golongan miskin di negeri ini sebaliknya menyebabkannya kerugian hampir RM5,000 diperdaya penjenayah siber yang mengugut kononnya beliau akan disiasat Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Terengganu, Superintendan Azmi Adam, berkata wanita berusia 33 tahun dari Kampung Telemong, Hulu Terengganu, itu mendakwa dirinya menjadi mangsa sindiket yang mengugutnya atas alasan tidak menjelaskan cukai membawa keluar bungkusan mengandungi sejumlah besar wang bantuan yang ‘tersangkut’ dalam stor kastam.

Kes dilaporkan mangsa Rabu lalu, kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis kini mencari identiti pemanggil serta individu yang ada berhubung dengan mangsa sebelum ini.

“Kejadian bermula pada jam 10 pagi, 25 Julai lalu ketika mangsa melayari internet di rumahnya. Ketika bersembang di satu laman sosial, mangsa mengenali ‘Mr Messina’ yang memintanya memberi maklumat peribadi untuk dihubungi.

“Beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi menerusi telefon oleh lelaki berkenaan yang memaklumkan bungkusan kebajikan itu sudah sedia diserahkan, tetapi mangsa perlu membuat sedikit pembayaran,” katanya di sini, semalam.

Mangsa dihubungi individu lain beberapa hari kemudian yang memaklumkan barangan itu sudah tiba dan akan dibawa ke Terengganu.
“Bagaimanapun sebelum menghantar barang itu, mangsa diminta membayar kira-kira AS$1,500 (RM4,800) dan beliau akur.

“Namun mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran susulan AS$6,250 (RM20,000) atas alasan barang itu ‘tersangkut’ dalam stor kastam dan perlu dikeluarkan segera,” katanya.

Mangsa bertindak menghubungi pengirim bagi memaklumkan beliau tidak mempunyai wang itu.

Tindakan itu menyebabkan pengirim bengang lalu mengugut kononnya beliau terpaksa menanggung kos kerana disiasat FBI disebabkan kiriman itu turut membawa sejumlah besar wang.

“Mangsa yang bimbang dan berasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Telemong sebelum kes dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment