Ketawa itu “berjangkit”
Oleh Hafizahril Hamid
Bersama rakan-rakan ketika bersekolah tingkatan lima di St. John’s Institution.
MELIHAT dirinya sahaja sudah mampu untuk membuatkan kita ketawa. Belum lagi melihat akan aksi lawak jenakanya yang nyata membuatkan para penonton ‘pecah perut’ dengan aksi komedi yang dilakukan secara spontan dan bersahaja.
Itulah kekuatan yang dimiliki oleh pelawak terkenal tanah air yang begitu dikenali dengan persembahan melalui medium stand up comedian, Harith Iskandar.
Sepanjang wawancara berlangsung, penulis beberapa kali bertanya kepada Harith apakah beliau boleh dianggap sebagai orang pertama yang menggunakan medium stand up comedy di negara ini.
Beliau yang termenung seketika kemudian dilihat cuba merendah diri dan memilih jalan selamat dengan mengatakan terdapat beberapa pelawak yang pernah menggunakan medium yang sama dengan menyebut beberapa nama seperti A.R Badul, R. Jaafar dan beberapa lagi.
Penulis kemudian menjelaskan bahawa nama-nama yang disebutkan tadi memang antara pelawak ternama di negara ini tetapi mereka mengadakan persembahan secara berkumpulan dan bukan bersendirian seperti Harith.
Namun kemudiannya kami berdua sepakat mungkin antara pelawak pertama yang menggunakan medium ini adalah Datuk Jamali Shadat yang popular dengan watak kanak-kanak dikenali sebagai Atan beserta bonekanya.
Bagaimanapun yang pasti Harith adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kepada khalayak tentang konsep lawak jenaka melalui medium stand up comedy.
Melalui medium inilah yang akhirnya telah mempopularkan beliau sehingga dikenali sebagai pelawak disegani hari ini.
Namun hakikatnya, walaupun kita begitu mengenali beliau sebagai pelawak tersohor, namun Harith begitu bersungguh menyatakan bahawa beliau sebenarnya adalah seorang yang serius dan sangat kurang bercakap.
“Di kalangan masyarakat mungkin orang melihat saya sebagai seorang yang lucu tetapi saya adalah seorang yang serius dan tidak suka membuat lawak.
Kegembiraan yang jelas terbayang di muka Harith dan isteri, Jezamine Lim ketika majlis pernikahan mereka.
“Malah isteri saya juga berpandangan sama kerana ketika kami pertama kali keluar bersama beliau menyatakan saya sebagai seorang yang membosankan.
“Isteri saya juga terkejut kenapa ada orang yang berjumpa dan meminta tandatangan saya kerana dia langsung tidak tahu bahawa saya adalah seorang pelawak yang dikenali ramai,” ujar lelaki berusia 46 tahun itu.
Beliau yang kelihatan begitu teruja ketika bercerita pengalaman keluar bersama isterinya, kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertamanya yang dijangka akan dilahirkan sekitar bulan Mac nanti.
Katanya lagi, pengalaman menjadi bapa adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan dan perkara itu baginya adalah antara pelengkap dalam hidupnya.
Namun jelas Harith kejayaan beliau sekarang bukanlah terhasil dengan sekelip mata malah terpaksa dilalui dengan kepayahan dan pelbagai episod yang adakalanya menyedihkan.
Menyifatkan pelbagai pengalaman pahit itu sebagai sumber kejayaan sekarang, Harith menjelaskan ada ketikanya beliau ditipu oleh ejen yang melarikan diri setelah beliau membuat persembahan.
“Itu adalah antara pengalaman pahit yang dilalui ketika membuat kemunculan awal dalam kariernya sekitar awal 1990-an.
lawak jenaka
“Namun semua pengalaman itu yang mengajar dan mematangkan saya dan kini apabila berhadapan dengan generasi baru stand up comedian, saya akan memberi panduan serta tunjuk ajar kepada mereka supaya kejadian sama tidak berlaku kepad mereka,” kata Harith.
Menjelaskan lanjut mengenai bagaimana beliau boleh berkecimpung dalam bidang komedi ini yang pernah dianggap sebagai tidak mempunyai masa depan oleh beberapa pihak, beliau menjelaskan segalanya bermula secara tidak sengaja apabila beliau diminta untuk membuat persembahan lawak jenaka di sebuah kelab oleh rakan-rakannya.
“Saya memang dikenali oleh rakan-rakan sejak sekolah lagi sebagai seorang yang kelakar tetapi saya langsung tidak menyedarinya.
“Orang sering mengatakan bahawa saya seorang yang kelakar tetapi saya tidak sedar,” ujar bekas pelajar sekolah St. John’s Institution ini.
Namun ujarnya yang pasti bakat melawak ini katanya banyak diwarisi dari ibunya yang gemar membuat lawak secara spontan tanpa beliau sendiri tahu bahawa apa yang dikatakannya itu membuatkan orang lain ketawa terbahak-bahak.
“Pernah satu ketika saya membawa arwah ibu saya menonton filem Titanic di pawagam, dan ibu saya dengan selamba menyatakan terdapat waris terakhir dari mereka yang terselamat dari Titanic turut sama menonton wayang ini, merujuk kepada beberapa warga emas yang berada bersama di dalam wayang ketika itu.
“Muka arwah ibu saya sangat selamba ketika berkata dan beliau tidak sedar itu adalah kenyataan yang sangat lucu tetapi saya ketawa terbahak-bahak dengan kenyataannya itu,” katanya.
Mengimbau kenangan silam, selepas menamatkan alam persekolahan Harith kemudiannya melanjutkan pelajaran di Curtin Universiti di Australia dalam pengajian filem pada 1983.
Beliau kemudiannya bekerja di beberapa syarikat agensi pengiklanan sebelum ditawarkan berlakon dalam siri televisyen komedi popular sekitar tahun 1990-an, Jangan Ketawa.
Berikutan sambutan hangat siri tersebut telah menaikkan namanya dalam industri filem tanah air tetapi ujar Harith, beliau sebenarnya tidak gemar berlakon walaupun mempunyai ilmu dalam bidang filem.
Ini katanya, bidang lakonan adalah sesuatu yang memenatkan kerana banyak masa dihabiskan hanya untuk satu dua babak, dan selebihnya kita terpaksa menunggu.
Ini mengakibatkan beliau lebih gemar menjadi pelawak sepenuh masa dan hanya menerima tawaran berlakon untuk memenuhi undangan rakan-rakan.
Ketika ditanya bagaimana beliau mendapat ilham untuk membuat lawak di atas pentas, sesuatu yang bukan senang untuk dilakukan, idea itu datang tanpa mengira masa dan situasi.
“Ada masanya ketika saya sedang makan atau membaca akhbar, idea datang mencurah-curah. Namun saya suka memerhati gelagat orang kerana melalui pemerhatian tentang sikap manusia pelbagai idea untuk mengusik dan membuat lawak mampu terhasil.
“Namun pernah satu ketika ketika diawal kariernya, saya pernah membuat persembahan di sebuah kilang yang dihadiri mungkin ratusan orang.
“Saya kemudiannya di boo, dan orang mula membuat bising meminta saya balik dan sebagainya kerana lawak saya gagal memikat mereka. Saya kemudiannya menamatkan persembahan kerana saya tidak boleh fokus dan marah terhadap penonton hanya selepas beberapa minit.
“Ini adalah pengalaman yang begitu mematangkan saya dan kemudian saya kenal pasti bahawa dalam situasi sedemikian otak saya perlu ligat untuk fokus dan menarik perhatian mereka dan bukannya marah kepada mereka.
“Ramai orang tidak faham bahawa bukan senang untuk membuat orang ketawa. Membuat orang menangis mungkin mudah tetapi adalah sukar jika mahu membuat orang ketawa,” kata Harith jujur.
Beliau yang pada masa lapang merupakan seorang peminat tegar muzik terutama jazz, juga berkebolehan dalam bermain gitar.
Mempunyai beberapa gitar sebagai koleksi peribadi selain peneman di kala sunyi, beliau juga mempunyai dua ekor kucing yang begitu manja dengannya.
Persembahan
“Saya juga pada masa lapang sering bermain golf bersama rakan-rakan rapat seperti Hans Isaac tetapi ia bukan selalu kerana jika sibuk sama lima, enam bulan langsung saya tak main,” kata Harith.
Menjadi seorang pelawak telah membuatkan Harith berkunjung ke serata dunia sekaligus membuktikan bahawa orang Melayu juga boleh pergi jauh dalam bidang ini.
Beliau yang pernah membuat persembahan di Dubai, Jakarta, Singapura dan pelbagai lagi juga telah membuat banyak persembahan di hadapan VVIP seperti keluarga di raja, menteri malah Perdana Menteri sendiri.
Lebih membanggakan lagi beliau turut dijemput membuat persembahan di Australia pada Mac depan dalam satu festival komedi di sana.
Namun yang lebih mendebarkan bagi beliau adalah apabila dijemput bersama pelawak-pelawak terkenal tanah air antaranya Johan, Zizan, Abon, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Nabil untuk membuat persembahan di Istana Budaya pada awal Februari ini.
Persembahan yang dikenali, Lawak Ke Der?, dilihat sebagai kayu pengukur dalam mengangkat martabat komedi tanah air ke tahap yang lebih membanggakan.
Menurut Harith beliau begitu berharap supaya masyarakat dapat memberi sokongan terhadap usaha ini kerana sebelum ini persembahan lawak adalah percuma namun kali ini mereka perlu membayar, dan ini adalah antara cabaran utama dalam projek ini.
“Gabungan mantap pelawak terkenal tanah air ini pastinya mampu menggeletek peminat kerana ini merupakan kali pertama persembahan seperti ini dilakukan dipentas berprestij istana Budaya dan diharapkan orang ramai dapat menyokong usaha kami sekali gus membantu menanamkan keyakinan bahawa bidang komedi ini adalah satu bidang yang mempunyai masa depan yang cerah di negara ini,” kata Harith dengan penuh harapan.