Tuesday, January 31, 2012

redah api

Pemuda redah rumah terbakar selamatkan kanak-kanak

KLANG 30 Jan. - Tindakan berani seorang pekerja kilang merempuh masuk sebuah rumah kayu dua tingkat yang sedang terbakar berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada rentung di Kampung Sungai Puloh, Batu 4 Jalan Meru di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari, R. Revanthy, 21, sedang duduk bersama rakannya berhampiran rumah didiami kanak-kanak itu, J. Kavina, 2, dan ternampak asap dari bahagian tingkat atas rumah.

Rumah itu merupakan antara enam buah rumah kayu yang musnah terbakar dan mengakibatkan kira-kira 30 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Revanthy, dia tiba-tiba terdengar jeritan nenek kanak-kanak itu meminta tolong supaya menyelamatkan cucunya yang tidur di dalam rumah.

"Tanpa berfikir panjang saya meluru masuk ke dalam rumah itu dan mendukung Kavina keluar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, M. Saraswaty, 57, memberitahu, ketika kejadian, semua penghuni keluar bekerja dan dia hanya mengetahui kejadian itu selepas pulang menghantar cucunya ke sekolah.

Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga kerana ia berlaku sangat pantas.

"Sedih kerana tidak tahu di mana mahu tinggal selepas ini," katanya yang sudah mendiami rumah itu lebih 20 tahun.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.08 tengah hari dan dua jentera berserta 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, api dapat dikawal 20 minit kemudian dan punca kebakaran serta taksiran kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment