Nasib anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar
23 September 2012
OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi
akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa.
Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman.
Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai
siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie
Spruill.
Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak
menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali
seumur hidupnya.
“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah
ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu.
Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio
mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan
dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil
iktibar.
Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana
perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di
India dan Australia.
Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia
terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya
pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal
dunia.
“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul.
“Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal.
Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya.
Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan
emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah
didiagnosis mendapat diabetes.
“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini.
“Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill.
Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya.
Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia
bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir
bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari
pusat bandar New York.
Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai
seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi
layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya’.
“Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya.
Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.
Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang
berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah
ketentuan takdir.
Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya.
Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing.
“Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.
Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra.
“Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan.
“Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang
berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak
dari kecil.
Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.
Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah
diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama
ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya.
Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui
bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya
yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum
ini.
Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini.
Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan
mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984
manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.
Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur
dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil
tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah
kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani
mahkamah di pejabatnya.
“Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa
pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun
merungut,” katanya.
Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya.
Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.
Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu.
Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu
anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri mereka itu sebenarnya
adalah datuk mereka sendiri.
Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar
terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya.
“Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka
benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh
lebih baik berbanding saya.”
Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya.
"Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap
sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,”
jelasnya lagi.
Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah
bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis
kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini.
"Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya
mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya,
mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.
* Dipetik dari laporan CNN