Sunday, September 16, 2012

jutawan pelarian

ARKIB : 15/09/2012

Jutawan pelarian dipenjara

JUTAWAN Pelarian... Hui Gao dalam perjalanan ke mahkamah di Hong Kong selepas berjaya diberkas di sempadan masuk ke wilayah tersebut dari negara China. - EDWARD WONG/SOUTH CHINA MORNING POST
BAYANGKAN pada suatu hari, akaun bank anda yang sememangnya anda sendiri tahu berapa jumlahnya tiba-tiba menunjukkan angka RM10 juta. Terbeliak mata anda bukan? Jauh di sudut hati anda pasti tahu ia berpunca daripada kesilapan pihak bank.
Namun apakah anda akan memaklumkan kepada pihak bank sekali gus berputih mata atau menghabiskan wang yang bukan hak anda? Senario itulah yang dialami oleh seorang lelaki berketurunan Cina, Hui 'Leo' Gao yang menetap di New Zealand, tiga tahun lalu bersama teman wanitanya ketika itu, Kara Hurring.
Daripada memulangkan semula wang tersebut kepada pihak bank, Gao memilih untuk menggunakan wang yang tidak pernah dimimpikannya itu. Menyedari hakikat wang itu bukan miliknya, dia kemudian melarikan diri ke China.
Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib Gao apabila dia berjaya diberkas semula pada penghujung tahun lalu.
Mengimbau kembali insiden pada April 2009, nasib Gao berubah apabila bank Westpac secara tidak sengaja memasukkan NZ$10 juta (RM25 juta) ke dalam akaun Gao apabila dia memohon mendapatkan overdraf bagi membiayai perniagaan stesen minyak yang diusahakan bersama ibunya di Rotorua.
Dia pada asalnya memohon overdraf bagi jumlah NZ$100,000 (RM250,000) tetapi kesilapan kakitangan bank terbabit menyebabkan dia diberikan jumlah sehingga 100 kali ganda.
Dalam tempoh sebulan, pasangan itu telah memindahkan berjuta-juta dolar ke dalam bank di Hong Kong dan China. Selain digunakan untuk berjudi di Macau, beberapa juta dolar lagi dipindahkan ke dalam akaun bapa Gao, Alex Wang.
Kesilapan itu hanya disedari oleh pihak bank pada awal Mei tahun yang sama, ketika pasangan yang dikenali sebagai 'jutawan pelarian' itu telah pun melarikan diri ke Hong Kong.
Pada waktu itu sejumlah NZ$6.78 juta (RM16.95 juta) telah pun dipindahkan ke dalam akaun bank luar pesisir pantai.
Kes itu kemudian dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa yang kemudian meminta campur tangan Interpol untuk menjejaki pasangan tersebut.
Selepas menjadi pelarian selama dua tahun, Gao akhirnya berjaya diberkas pada September 2011 ketika dia cuba memasuki Hong Kong melalui tanah besar China. Dia kemudian diekstradisi ke New Zealand.
Hurring pula ditangkap pada Februari 2011 ketika dia pulang ke New Zealand untuk memperbaharui pasport anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Pada 23 Ogos lalu, Gao dihukum penjara empat tahun tujuh bulan oleh Mahkamah Daerah Rotorua di Wellington selepas dia mengaku bersalah atas tujuh tuduhan mencuri.
Hurring dijatuhi hukuman yang lebih ringan iaitu dikenakan tahanan rumah selama sembilan bulan dan diperintah membayar semula NZ$12,000 (RM30,000) yang diperolehinya dengan menggunakan kad kredit Gao.
Hukuman yang lebih ringan itu dikenakan sekalipun Hurring didapati bersalah selepas dibicarakan atas 25 tuduhan mencuri, tiga tuduhan dengan curangnya menggunakan satu dokumen dan dua tuduhan pengubahan wang haram.
Ketika mereka menjadi pelarian selama 22 bulan, Hurring telah melahirkan seorang anak lelaki Gao, sebelum mereka berpisah.
Mahkamah diberitahu bahawa wang sebanyak NZ$3.8 juta (RM9.5 juta) masih belum ditemui dan Gao gagal memberi penjelasan mengenai wang tersebut.
Hakim Philip Cooper dalam keputusannya menyatakan, Gao merupakan seorang oportunis meskipun kejadian itu bukan sesuatu yang dirancang. Namun, katanya, hukuman itu menggambarkan fakta bahawa dia telah memindahkan wang tersebut ke akaun luar pesisir pantai dan mengelak daripada ditangkap selama mungkin.
''Kamu ditangkap kerana kamu berjaya dikesan oleh pihak berkuasa Hong Kong, bukannya disebabkan kamu menyerah diri,'' tegas hakim tersebut.

No comments:

Post a Comment