Thursday, June 14, 2012

kaunter asb tiada

ARKIB : 13/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Kenapa kaunter ASB Maybank di Perlis dibuka terlalu lewat?
BINGUNG
Kuala Lumpur

AWAL bulan ini saya berkunjung ke Perlis sempena cuti sekolah sambil melawat anak yang belajar di sebuah universiti di sana.

Pada 6 Jun 2012 lebih kurang pukul 11.15 pagi, saya pergi ke cawangan Maybank di Bangunan KWSP, Kangar, untuk mengeluarkan wang daripada akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB). Namun saya hampa kerana tidak dapat berbuat demikian.

Saya dimaklumkan oleh seorang pegawai bank berkenaan bahawa urusan ASB akan hanya mula dibuka pada pukul 12.30 tengahari. Bukan kerana off line, tetapi menurutnya tidak cukup kakitangan untuk mengendalikan kaunter ASB.

Pada saya ini mengejutkan kerana saya belum pernah melalui pengalaman sebegini sebelum ini. Selama ini apabila saya berurusan dengan Maybank di Kuala Lumpur atau tempat lain, buka sahaja bank urusan ASB pun dibuka.

Justeru bagi saya tidak seharusnya timbul isu kurang kakitangan kerana sepatutnya menjadi tanggungjawab bank memastikan urus niaga berjalan apabila sahaja bank dibuka. Masalah itu tidak seharusnya dipindahkan kepada pelanggan sehingga mereka yang datang gagal untuk berurusan.

Apabila gagal berurusan di cawangan Kangar, saya pun bergegas ke cawangan Maybank Kuala Perlis dengan harapan dapat melakukan urus niaga di sana. Tetapi saya lebih terperanjat apabila dimaklumkan urusan ASB di cawangan itu hanya akan dibuka mulai pukul 2.30 petang!

Saya tertanya-tanya kenapa operasi Maybank di Perlis seolah-olah berlainan dengan cawangan di tempat lain. Justeru saya berharap pihak Maybank dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini. Adakah Maybank boleh membuka kaunter ASB sesuka hati menurut waktu yang mereka fikirkan sesuai?

Mungkinkah sememangnya ada pengecualian bahawa Maybank di Perlis diberi kebebasan boleh menetapkan sendiri waktu mereka hendak menjalankan urus niaga kaunter tertentu seperti ASB?

No comments:

Post a Comment