300 pemandu lori jongket protes SPAD
31 Mei 2012
Pemandu lori mendakwa, akibat tindakan SPAD, sumber pendapatan mereka terjejas teruk. Perhimpunan seawal jam 8 pagi itu membabitkan 50 lori yang diletakkan di bahu jalan kedua-dua hala, selain di hadapan Bangunan Kota Cemerlang sehingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan memerlukan kawalan pihak polis.
Seorang pemandu lori, Omar Mohamad, 44, berkata, dia memandu lori sejak 18 tahun lalu berasa sangat kecewa kerana SPAD bagaikan tiada budi bicara apabila mengenakan tindakan.
“Kami bawa ikut paras rata pun SPAD tahan dan bawa untuk ditimbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Apa sebenarnya yang sepatutnya kami patuhi?
“Sudahlah membuang masa, akhirnya kami tidak dapat bawa apa-apa muatan. Kami diberikan gaji hari, lepas itu didenda bukannya sedikit, sebaliknya beribu ringgit,” katanya.
Kaji semula undang-undang
Seorang lagi pemandu lori, Hasbullah Ahmad, 32, berkata, dia sudah beberapa kali terpaksa ke JPJ kerana dikatakan membawa muatan lebih.
“Bagaimana kita hendak mencari makan jika begini. Kita patuh pada arahan pun ditangkap. Kita mahu tahu setakat mana sebenarnya SPAD luluskan muatan kita,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Lori Melaka, Ko Bing Liyong berkata, mereka mahu SPAD mengkaji semula undang-undang yang diguna pakai mengenai tahap muatan yang dibenarkan.
“Apa yang kita sedia maklum, undang-undang ini belum diumumkan tetapi sudah dilaksanakan SPAD.
“Di bawah undang-undang, jika muatan lebih satu atau dua kilogram pun pemandu kena tahan dan permit kena gantung, termasuk dikenakan tindakan mahkamah serta denda sehingga RM50,000,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, mereka tidak berdepan sebarang masalah berkaitan muatan di bawah undang-undang yang diguna pakai JPJ sejak 10 tahun lalu.
Keluarkan 33 saman Ketua Penguat kuasa SPAD Wilayah Selatan, Mejar (B) Adly Azmi Ahmad berkata, penguatkuasaan Akta SPAD bermula pada 31 Januari 2011 selepas diluluskan Parlimen pada Jun 2010.
“Tindakan ke atas pengusaha lori adalah disebabkan kesalahan lebih muatan dengan pelaksanaan akta berkenaan iaitu perlu mengikut spesifikasi diluluskan JPJ dan Jabatan Kerja Raya.
“Sehingga kini, tangkapan yang kita buat memang membabitkan mereka yang membawa muatan berlebihan. Adakala sehingga 89 hingga 100 peratus lebih, di mana walaupun sepatutnya membawa 30 tan, mereka angkut sehingga 60 tan,” katanya.
Menurutnya, kedegilan pemandu dan pengusaha membawa lebih muatan menyebabkan kerosakan jalan raya yang teruk sehingga kerajaan perlu berbelanja besar untuk memperbaikinya.
Setakat ini, SPAD Wilayah Selatan sudah mengeluarkan 33 saman terhadap pengusaha lori di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak dua minggu lalu berikutan gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.
Tindakan pemandu lori terbabit berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari kerana hujan lebat.
No comments:
Post a Comment