ARKIB : 21/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 1
Berkahwin hasil duit kegiatan pecah rumah
NIBONG TEBAL 21 Jun - Seorang lelaki yang ditahan pihak polis kerana terlibat dalam jenayah pecah rumah mengaku menggunakan wang sebanyak RM10,000 hasil kegiatan itu untuk majlis perkahwinan yang dilangsungkan dua minggu lalu.
Pengantin baru berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan polis di rumahnya di Sungai Duri di sini, 5 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, ekoran penahanan lelaki itu, polis turut berjaya menahan rakannya berusia 23 tahun di Sungai Kasa pada pukul 11 malam hari yang sama.
“Modus operasi mereka adalah meronda dengan motosikal pada waktu siang dan akan melakukan pecah rumah pada waktu malam. Sasaran kumpulan ini adalah rumah kampung dan rumah tiada berpenghuni.
“Mereka menggunakan sebatang dawai besi untuk membuka pintu rumah dan membuka cermin tingkap rumah bagi melakukan jenayah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.
Shafien berkata, polis menemui semula barangan yang dicuri antaranya dua buah televisyen LCD, empat komputer riba, tiga unit kamera digital, dua kamera video, 35 keping surat pajak gadai, enam bentuk cincin, seutas rantai tangan, dua telefon bimbit, tiga rantai leher dan satu jam tangan kesemuanya bernilai RM70,000. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment