Wednesday, May 30, 2012

bukan duit rakyat

Tuanku tidak ambil duit rakyat

Tunku Ismail Idris


KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa kerabat diraja Johor tidak pernah mengambil sesen pun duit daripada kerajaan sejak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.
Menerusi akaun laman sosial Twitternya @HRHJohor2, baginda bertitah, perkara itu boleh disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman atau mana-mana pegawai kerajaan.
Tempoh pemerintahan Kesultanan Johor dari era Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar hingga kini adalah selama 117 tahun. Almarhum Sultan Ibrahim memerintah Johor dari 1895 hingga 1959.
"Semua wang yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada beta dan ayahanda beta setiap bulan telah disalurkan kepada Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim," titah baginda.

plat rebutan tahun hadapan

WYY 9999 dijangka jadi rebutan tahun depan

KUALA LUMPUR - Selepas nombor pendaftaran WWW 1 berjaya dibida pada harga RM520,000, Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meramalkan WYY 9999 bakal menjadi rebutan para pembida tahun depan.
Pengarahnya, Mohd. Nadzri Osman berkata, ini kerana WYY 9999 merupakan nombor terakhir bagi pendaftaran kenderaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ia ditukarkan kepada satu siri nombor baharu yang masih belum diputuskan kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mula menerima beberapa pertanyaan daripada individu yang berminat untuk membida nombor pendaftaran tersebut.
"Kita menjangkakan ramai akan berminat untuk memiliki nombor terakhir itu yang dijangka mula digunakan pada Ogos tahun hadapan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

naga kena tangkap

Nelayan naikkan ikan mirip naga
RAIHAM MOHD SANUSI
30 Mei 2012
ikan naga
Othman bersama empat anaknya menunjukkan ikan aneh menyerupai seekor naga
ditangkap nelayan pesisir pantai, pagi semalam.
Kemaman – Nelayan dan pembeli di jeti Kuala Kerteh di sini gempar apabila seorang nelayan membawa pulang seekor ikan aneh menyerupai naga, pagi semalam.

Ikan ganjil itu mempunyai sesungut panjang berwarna merah di kepala dan bawah mulut serta berduri di bahagian bawah badan, dengan ukuran empat meter panjang dengan berat mencecah sembilan kilogram.

"Saya terkejut melihat ikan itu, kepalanya mirip naga, badan berwarna putih dengan kulitnya keras tetapi tidak bersisik, ikan ini juga memiliki sirip berwarna merah," kata pembuat minyak urut, Othman Abu Bakar, 63.

Othman yang berasal dari Kampung Telaga Papan, dekat sini, berkata, dia yang berada di jeti sewaktu nelayan pulang menangkap ikan kira-kira jam 11 pagi terus menyuarakan hasrat untuk membeli ikan itu kerana melihat keunikannya apatah lagi sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat spesies ikan sedemikian.

Othman kemudiannya menyuarakan hasrat membeli ikan aneh itu daripada pemiliknya yang merupakan pemuda dari Kampung Rasau.

"Saya beli kerana ingin tunjukkan kepada penduduk kampung. Sebaik saya membawa pulang ikan ini, ramai jiran tetangga berkunjung ke rumah melihatkan ikan pelik itu.



"Mereka tidak pernah melihat ikan seperti itu walaupun sudah lama tinggal di Kampung Telaga Papan yang terkenal dengan kawasan penangkapan dan pendaratan ikan," katanya.

Ditanya mengenai harga ikan tersebut, Othman enggan memberitahu walaupun dipujuk beberapa kali.

Katanya, walaupun ketika dinaikkan ke darat kepala ikan itu sudah hancur tetapi ciri-ciri pada badannya jelas kelihatan seperti seekor naga.

“Kepala ikan hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat digunakan nelayan," katanya.

Othman bagaimanapun tidak berhasrat untuk memakan ikan itu, tetapi akan mengeringkannya untuk dijadikan ramuan bagi menghasilkan minyak urut.