3 ditahan, AS$10j black money dirampas
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tiga pelajar warga Afrika yang terlibat dalam kegiatan black money umpama 'menggali kubur sendiri' apabila membuat laporan polis selepas bergaduh sesama sendiri.
Bertindak atas laporan tersebut, polis berjaya membongkar kegiatan haram itu setelah melakukan pemeriksaan di rumah sewa mereka di Bandar Sungai Long di sini, Khamis lalu.
Dalam pemeriksaan itu, polis secara tidak sengaja menemui pelbagai jenis peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan Black Money termasuk 100,000 keping mata wang palsu dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$10 juta (RM31.3 juta).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, tiga pelajar dari Nigeria termasuk seorang wanita sebelum itu, bergaduh sesama sendiri di rumah sewa mereka kira-kira pukul 10 malam.
Beliau berkata, salah seorang pelajar lelaki yang bergaduh itu kemudian membuat laporan menyebabkan polis datang ke rumah mereka untuk menyiasat.
Katanya, pegawai penyiasat yang membuat pemeriksaan di rumah terbabit kemudian menemui kepingan kertas yang dicetak dengan mata wang AS$100.
"Sebaik sahaja menemui wang palsu itu, pegawai terbabit terus membuat pemeriksaan menyeluruh di rumah tersebut yang membawa kepada penemuan dua beg berisi potongan kertas berwarna hijau bersaiz mata wang AS$100.
"Turut ditemui botol berisi cecair, bungkusan plastik dan mesin pengimbas dipercayai peralatan digunakan untuk mencetak mata wang palsu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dekat sini hari ini.
Mohd. Shakaruddin berkata, kepingan kertas yang digunakan untuk membuat wang palsu itu diikat dalam jumlah tertentu dan hanya bahagian depan dan belakang dicetak dengan mata wang manakala bahagian tengah dibiarkan kosong.
Beliau berkata, suspek akan menemui mangsa mendakwa memiliki wang kotor yang boleh dicuci dengan sejenis cecair dan menawarkan untuk menjual cecair terbabit dengan harga mencecah puluhan ribu ringgit.
Katanya, wang kotor itu akan diberikan secara percuma dengan syarat mangsa bersetuju membeli cecair tersebut.
"Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara dan menyewa bersama di rumah tersebut sejak dua bulan lalu," katanya.
Beliau berkata, suspek wanita berusia 23 tahun dan dua rakan lelakinya berusia 23 dan 24 tahun kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.
Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara.
No comments:
Post a Comment