Thursday, August 19, 2010

Anak Sekarang

KANGAR: “Saya tenang dan rela mati di sini (Rumah Orang Tua). Kepada dua anak yang sudah mendirikan rumah tangga, anggap saya sudah tiada dalam kehidupan mereka,” kata Abdul Rahman Talib, 58, di Rumah Orang Tua Baru Bertangkup, dekat sini, semalam.

Beliau yang dibuang anak kandung sendiri Januari lalu, berkata kehidupannya kini lebih tenang, tambahan pula sekarang dia mampu melakukan ibadah puasa lebih sempurna di rumah itu.

Katanya, selepas lebih lapan bulan memikir nasib diri selepas dibuangkan anak sendiri, beliau sudah mempunyai kekuatan diri untuk meneruskan kehidupan tanpa orang disayangi.


“Saya boleh menyesuaikan diri tanpa kehadiran anak dan cucu. Ketika awal dimasukkan di rumah orang tua, setiap hari saya menjengah ke pintu kemungkinan anak dan cucu datang melawat.


“Bagaimanapun, sejak dibuang lapan bulan lalu, tiada seorangpun daripada dua anak datang untuk melawat untuk menanyakan khabar mengenai diri saya di sini,” katanya.


Pada 12 Januari lalu, akhbar ini melaporkan Abdul Rahman baru selesai menjalani pembedahan jantung, terkedu apabila ditinggalkan anak sendiri bersama bungkusan pakaian di pondok bas berhampiran sebuah sekolah.


Kejadian memilukan itu berlaku apabila Abdul Rahman yang baru keluar dari Hospital Pulau Pinang selepas menjalani pembedahan jantung, menjejakkan kaki di rumah anak lelakinya di sebuah taman perumahan.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, memberi perlindungan segera kepada Abdul Rahman dengan menempatkannya di Rumah Orang Tua Batu Bertangkup bersama beberapa penghuni lain.


Mengulas kehidupan di rumah terbabit, Abdul Rahman berkata, JKM membekalkan setiap penghuni dengan wang saku RM150 sebulan atau RM5 sehari untuk mereka membeli juadah berbuka puasa.


“Saya kerap memasak sendiri kerana bahan seperti beras, gula dan kopi disediakan JKM dan saya sering keluar ke pasar Ramadan Batu Bertangkup berhampiran untuk membeli juadah lain.


“Pada sebelah petang, saya banyak menghabiskan masa di masjid berhampiran membantu jemaah mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk tempatan. Kedudukan rumah berhampiran masjid memudahkan saya bersolat Tarawih,” katanya.

No comments:

Post a Comment