PUTRAJAYA: Seorang ibu tergamak ‘berkongsi dosa’ dengan anak lelaki kesayangannya apabila membiarkan pemuda itu bersekedudukan dengan teman wanita di rumahnya lebih tiga tahun sehingga menghasilkan empat zuriat haram.
Perbuatan pasangan berusia awal 20-an itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat maklumat mengenai salah laku mereka menyerbu sebuah rumah di Serdang, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Lebih mengaibkan, ketika disoal siasat, pasangan terbabit dengan selamba memberitahu penguat kuasa Jais mereka bersekedudukan sejak sekian lama kerana tidak mempunyai masa untuk berkahwin secara sah dan mendaftarkan perkahwinan.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata pasangan terbabit dipercayai bersekedudukan sejak lebih tiga tahun lalu sehingga memperoleh empat anak hasil zina yang berusia tiga, dua, setahun serta paling bongsu tiga bulan.
“Penduduk di kawasan itu tertipu dengan perbuatan pasangan terbabit yang dipercayai menggunakan rumah ibu mereka untuk tinggal secara haram sehingga melahirkan anak luar nikah.
“Kebanyakan penduduk menyangka pasangan terbabit sudah bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan di tempat lain,” katanya.
Shahrom berkata, dia terkejut dan hairan dengan sikap ibu lelaki terbabit yang langsung tidak mempedulikan dosa dilakukan anak di rumahnya.
Menurutnya, ibu terbabit boleh dianggap bersekongkol dengan anaknya bagi mengelak kegiatan tidak bermoral terbongkar.
“Saya percaya sikap ibu yang tidak kisah dan sayangkan anaknya itu secara berlebihan mendorong dia membenarkan anaknya bersekedudukan sehingga beberapa tahun,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki terbabit bekerja manakala ‘isteri tidak halal’ itu menjadi suri rumah sepenuh masa di rumah ibu mentuanya.
Menurut Shahrom, semua cahaya mata pasangan terbabit tidak memiliki sijil lahir dan beliau diberitahu, semua anak itu disambut ‘bidan misteri’ di kawasan berkenaan tanpa merujuk klinik atau hospital berhampiran.
“Mereka berbuat demikian untuk mengelak salah laku mereka diketahui pihak berkuasa. Perbuatan pasangan terbabit boleh menimbulkan masalah kepada anak mereka yang sudah pasti sukar untuk memasuki alam persekolahan kerana tiada sijil lahir yang sah,” katanya.
Shahrom berkata, pihaknya menahan pasangan terbabit dan membawa mereka ke pejabat Jais di Shah Alam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan Jais.
Menurutnya, pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melakukan persetubuhan haram dan Seksyen 29 akta sama kerana melakukan khalwat.
“Kami juga akan memanggil ibu dan bapa pasangan wanita terbabit bagi mengenal pasti punca kegiatan itu berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment