Saturday, August 14, 2010

Sorok Nasi Dalam Lif

KULIM: Taktik licik sebuah restoran nasi kandar yang menggunakan lif barang untuk menyimpan makanan siap dibungkus bagi dijual kepada individu tidak berpuasa terbongkar selepas diserbu penguat kuasa agama, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi, restoran berkenaan yang pernah mempunyai rekod menjual makanan kepada umat Islam tidak berpuasa tahun lalu didapati menyimpan ratusan bungkus nasi berlauk ayam goreng, daging masak kicap, sayur kubis dan kari yang dijual RM5 sebungkus.

Jurucakap Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) berkata, walaupun baru beberapa hari umat Islam berpuasa, premis itu sudah mengulangi amalan lama tidak menghormati Ramadan untuk mengaut keuntungan dengan mudah.


“PADK bersama Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) menjalankan pemantauan bagi memastikan semua premis makanan hanya beroperasi pada jam 3.30 petang.


“Ketika tiba di premis nasi kandar itu, beberapa tonto atau pengintip berada di luar kedai dan sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, mereka memaklumkan kepada penyelia atau pemilik premis terbabit,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan sekitar premis mendapati makanan siap dibungkus disorok di beberapa tempat terlindung seperti bilik stor, ruang menyimpan barang dan sebuah lif barang.


“Antara makanan dirampas ialah ayam goreng, daging masak kicap, sayur kubis dan kari dengan setiap bungkusan makanan dijual pada harga RM5,” katanya.


Berikutan itu, restoran nasi kandar berkenaan diberi notis saman dari MPKK berjumlah RM500 dan jika masih tidak mematuhi arahan, denda dinaikkan kepada RM1,000 untuk kesalahan kali kedua.


Menurutnya, PADK dan MPKK membuat rondaan setiap hari bagi memastikan semua peniaga di kawasan itu mematuhi arahan dikeluarkan iaitu hanya boleh beroperasi mulai jam 3.30 petang.


Jurucakap PADK berkata, lebih penting bukan tindakan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memohon peniaga dan orang ramai menghormati kesucian Ramadan.


“PADK tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu tidak berpuasa dan premis yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment