Thursday, August 19, 2010

Tangkap Ikan Dengan Tangan



KETENANGAN dek kehijauan alam semula jadi di Tasik Kenyir memang memukau pandangan. Kebiruan yang memenuhi pemandangan ditambah dengan kicauan pelbagai spesies burung mendamaikan hati yang gundah.


KENANGAN...mandi bersama ratusan ikan kelah meninggalkan 1,001 kenangan manis.
sebelum - selepas



HERBA...pelbagai spesies herba yang terdapat di Taman Herba Tasik Kenyir
Terletak di Hulu Terengganu, Tasik Kenyir pasti menjanjikan detik percutian menakjubkan dengan keheningan dan kehijauan alam semula jadi yang mungkin tidak pernah diintai sebelum ini.

Bagi pasangan yang baru berkahwin, inilah tempat paling sesuai untuk berbulan madu.

Penulis serta rakan media dan badan korporat turut merasai kedamaian itu ketika menyertai Program Kembara Cuti-cuti 1Malaysia Terengganu, baru-baru ini.

Keindahan dan kepelbagaian flora dan fauna di tasik buatan manusia terbesar dan tercantik di Asia Tenggara itu memang indah.

Dengan memiliki 340 pulau, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di situ bagi melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

Destinasi pertama yang kami lawati ialah Kelah Santuari Sungai Petang, kira-kira 21 kilometer dari jeti Pangkalan Gawi.

Untuk sampai ke Kelah Santuari itu, kami terpaksa merentas hutan kira-kira 45 minit. Keletihan memang dirasai, namun apabila sampai ke Lubuk Kejor, kepenatan hilang begitu saja ketika melihat ribuan ikan kelah berebut makanan.


Keseronokan dirasai apabila seorang demi seorang turun ke permukaan air dan cuba menangkap ikan kelah dengan menggunakan tangan.

Pengalaman yang pastinya tidak dapat dilupakan apabila rombongan berpeluang mandi bersama spesies ikan kelah di santuari Kelah Hijau atau lebih dikenali Kejor.

Destinasi kedua yang kami lawati di tasik yang hampir menyamai saiz Singapura itu adalah Taman Herba Tasik Kenyir di kawasan seluas 15.84 hektar di Pulau Sah Kecil.

Di taman herba itu, ada lebih 12,500 spesies tumbuhan berbunga ditemui di Malaysia dan lebih 1,200 spesies direkodkan ada nilai perubatan yang penting.

Antara pokok herba yang boleh anda temui ialah tongkat Ali, kacip Fatimah, jerangau dan mas cotek.

Selain pandangan mata disajikan dengan pelbagai jenis pokok yang ditanam dengan tersusun dan susun atur landskapnya, kami juga dihidangkan dengan air tongkat Ali dan mas cotek di Pondok Herba.

Menariknya, air herba yang dihidangkan direbus di pondok itu tanpa campuran bahan-bahan lain.

Bagi yang sukakan cabaran dan ingin mandi-manda dengan air yang dingin sambil ditemani kehijauan alam semula jadi, terdapat 14 air terjun di Tasik Kenyir.

Antara air terjun yang pastinya menggamit hati ialah air terjun Lasir, Petuang Rapid, Tembat, Lata Terap, Soak, Petang dan Sungai Buweh yang menjanjikan kedinginan air terjun yang pasti meninggalkan kenangan.

Rombongan kami tidak bernasib baik kerana tidak sempat berkunjung ke salah satu daripada 14 air terjun iaitu air terjun Lasir kerana kesuntukan masa.

Selain daripada tempat-tempat yang kami lawati, Tasik Kenyir juga dianggap 'syurga' kaki pancing kerana pelbagai spesies ikan sungai termasuk kelah, lampam, sebarau, baung dan tapah yang hidup bebas di tepian air terjun, jeram, lubuk dan sungai dalam tasik itu.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini ialah melihat burung, berkayak, jelajah hutan, menyusuri tasik dengan menaiki bot atau meneroka gua.

Satu perkara lagi yang pasti membuatkan anda terpesona di Tasik Kenyir adalah pemandangan waktu senja di kala matahari terbenam yang cukup cantik.

Ia membuatkan anda teringin datang lagi untuk melihat khazanah alam semula jadi yang tiada ternilai indahnya.


>INFO
> Tasik Kenyir adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara.
> Kaya dengan spesies ikan air tawar.
> Meliputi 209,199 hektar dan 340 pulau.
> Mempunyai 14 air terjun yang cantik

Bagaimana ke sini
> PERJALANAN memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir mengambil masa kira-kira enam jam dengan jarak 520 kilometer dan 45 minit atau 60 km dari bandar Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment