KUALA LUMPUR 27 Ogos - Akibat ingin memperoleh kesenangan secara mudah, 17 individu dari seluruh negara mendakwa mereka ditipu beberapa bomoh nombor ekor palsu membabitkan kerugian berjumlah RM630,000 sepanjang tahun ini.
Kebanyakan daripada mangsa adalah wanita.
Malah, salah seorang daripadanya mengalami tekanan jiwa selepas kerugian hampir RM10,000 baru-baru ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Tan, 44, kerugian RM9,468 setelah diperdaya oleh seorang lelaki bergelar 'Guru Ta-Yik' kerana terpengaruh dengan sekeping iklan yang mengatakan mampu mengubah nasib mereka selepas diberikan nombor ramalan empat digit.
Anggaran nilai kerugian itu termasuk bayaran upacara sembahyang dan pembelian barangan keagamaan untuk mengelak bala.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau tidak faham kenapa masih ramai masyarakat yang terpedaya meskipun berita kegiatan bomoh palsu seperti itu sering disiarkan oleh media.
"Bomoh palsu bijak mengeksploitasi mangsa secara psikologi kerana mereka tahu siapa yang disasarkan," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini hari ini.
Tambah beliau, pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya untuk membantu orang ramai agar tidak terpedaya dengan bomoh palsu itu.
"Dulu, modus operandi bomoh palsu ini adalah menyiarkan iklan dalam surat akhbar. Setelah kegiatan ini berjaya dihalang, mereka mengedarkan pula risalah iklan yang diselitkan dalam akhbar," jelasnya.
Menurutnya, ada di antara mangsa yang terpaksa meminjam daripada ah long kerana terpengaruh untuk melabur dalam jumlah yang banyak bagi membeli nombor-nombor ramalan tersebut.
"Saya nasihatkan orang ramai agar jangan terpedaya dengan sindiket ini. Sudah banyak pendedahan dilaporkan dalam media," katanya.
No comments:
Post a Comment