MIRI 26 Ogos - Gara-gara ketiadaan mesin pengeluar wang automatik (ATM) terdekat, kira-kira 200 penerima elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kawasan Baram, Mulu dan Bario mengadu mengalami kesukaran untuk mendapatkan bantuan bulanan itu.
Sebahagian besar penerima bantuan ini yang majoritinya terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan miskin tidak mengambil bantuan itu kerana tidak mampu membiayai kos pengangkutan.
Lokasi bank yang paling dekat adalah di Miri dan Marudi, namun hanya dapat dihubungkan menggunakan pesawat, bot atau jalan balak yang memakan masa sehari suntuk.
Setiap bulan, mereka mendapat bantuan antara RM60 hingga RM450 bergantung kepada keadaan yang dihadapi, sedangkan kos mengambil wang itu mencecah RM200, lebih tinggi daripada jumlah elaun.
Bagi penerima elaun yang tinggal di Mulu, mereka tiada pilihan iaitu menggunakan bot panjang sehari suntuk ke Marudi atau menggunakan pesawat ke Miri semata-mata mengeluarkan wang tersebut.
Situasi yang sama turut dialami penduduk di tanah tinggi Bario yang bergantung dengan pengangkutan udara sama ada ke Miri ataupun Lawas.
Bagi penerima dari Baram, mereka terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai ke Miri, itupun bergantung dengan keadaan jalan balak.
Philip Lakai dari Kampung Ramapuh, Bario berkata, baru-baru ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan kepada kira-kira 40 penduduk terdiri daripada OKU, warga emas dan miskin.
''Kami berterima kasih dengan usaha kerajaan, namun ketiadaan ATM menimbulkan satu lagi masalah besar kepada kami. Bagaimana kami mahu mengeluarkan elaun itu?"
''Apa yang kami terima kurang daripada kos yang kami keluarkan untuk mengambil bantuan itu. Bayangkan penerbangan pergi balik ke Miri mencecah RM200 manakala pengangkutan darat antara RM200 hingga 400," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sehubungan, Philip mencadangkan agar pihak kerajaan atau agensi berkaitan mencari jalan untuk memudahkan penduduk yang jauh di pedalaman mengambil elaun bantuan itu termasuk menyediakan ATM yang boleh digunakan di luar bandar.
Bapa kepada Paris Khiasan Laji seorang remaja Penan OKU, Laji Lupung dari Batu Bungan, Mulu berkata, mereka tidak mampu turun ke Miri kerana tidak mampu membeli tiket pesawat walaupun ia hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai.
''Bank yang paling dekat adalah di Marudi, itupun perjalanan mengambil masa 10 jam (pergi dan balik) menggunakan bot panjang. Namun jika musim kemarau, perjalanan lebih mencabar kerana paras air sungai yang cetek," keluhnya.
Menurut Laji, setiap bulan anaknya menerima kira-kira RM150 elaun bulanan, namun ia tidak berbaloi kerana tambang bot yang mencecah RM200 untuk setiap perjalanan.
No comments:
Post a Comment