KULIM: Ketika umat Islam di negara ini sibuk melaksanakan ibadah puasa, masih ada pasangan yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk berkhalwat pada waktu pagi.
Dalam satu kes khalwat di sini kelmarin, seorang pelajar perempuan tingkatan lima ditahan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Islam Kulim Kedah (PADK) di rumah teman lelakinya berusia 24 tahun, kira-kira jam 8.45 pagi di Taman Lobak dekat sini.
PADK melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan selepas mendapat maklumat daripada jiran lelaki itu pada jam 8 pagi.
Difahamkan jirannya tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu membawa masuk teman wanitanya ke rumah selepas ibu bapanya keluar bekerja dan dia meminta pasangan berkenaan keluar dari rumah tetapi tidak diendahkan.
Selepas beberapa minit menunggu, jiran yang marah dengan pasangan itu bertindak melaporkan kepada PADK sambil mengepung rumah itu.
Ketua Penguat Kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, penguat kuasa memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan menemui seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah berusia 17 tahun memakai baju kadet remaja cuba bersembunyi dalam rak kasut.
Beliau berkata, remaja perempuan itu kemudiannya cuba melarikan diri dengan bersembunyi di belakang pintu bilik.
“Teman lelakinya seorang penganggur mengaku tidak mempunyai hubungan muhrim dengan remaja perempuan itu yang mengaku ponteng sekolah untuk meluangkan masa bersama pasangannya,” katanya.
Azmi berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan serta dibawa ke Mahkamah Syariah Rendah Kulim.
Katanya, pelajar perempuan itu dikenakan ikat jamin RM800 manakala teman lelakinya ditahan reman di penjara Alor Setar kerana gagal membayar denda sehingga sebutan perbicaraan pada 24 Ogos ini.
“Bagaimanapun, pelajar perempuan itu tidak dilepaskan selepas diikat jamin kerana dijamin seorang lelaki, dipercayai abang angkatnya dan bukan warisnya.
“Kami terpaksa menahan remaja perempuan itu di balai polis kelmarin sehingga ibu bapanya datang menjemputnya semalam,” katanya.
No comments:
Post a Comment