AMPANG: Akibat terlalu rapat dengan rakan wanita, seorang lelaki menerima padah apabila dibelasah bapa mentua dan adik iparnya dengan kayu dalam kejadian di sebuah rumah Taman Seraya di sini.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila isterinya yang turut sama menyerang tidak sempat menghayunkan kayu kerana dikatakan tidak tergamak berbuat demikian biarpun perasaan cemburu dan marah membuak-buak terhadap suaminya.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi pada 5 Ogos lalu ketika mangsa berdua-duaan bersama rakan wanitanya itu dan keintiman mereka memang sudah lama dihidu isterinya yang menceritakan kepada bapanya.
Difahamkan, pada hari kejadian, mereka yang mengetahui mangsa berada bersama wanita itu berpakat untuk menyerang lelaki berkenaan bagi memberi pengajaran kepadanya.
“Sejurus mengetahui lokasi, tiga beranak berkenaan meluru dan menghampiri mangsa sebelum bapa mentua dan adik iparnya menghayunkan kayu yang mengenai badan dan tangannya.
“Isterinya juga tidak dapat mengawal kemarahan, namun dia hanya melepaskan geram apabila menghayunkan kayu ke motosikal suaminya itu,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa yang cedera di tangan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan susulan itu, polis menahan isterinya yang berusia 38 tahun serta bapa mentua lelaki terbabit yang berusia lingkungan 60-an.
“Dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 kanun Keseksaan. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada perasaan cemburu isterinya yang menyangkakan mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai wanita simpanan.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita terbabit, sebaliknya hanya berkawan biasa dan ketika kejadian, mangsa berniat menolong kerana rakannya dikatakan mempunyai beberapa masalah.
Pasangan terbabit sudah berkahwin hampir 15 tahun lalu dan mereka mempunyai tiga anak. Suaminya bekerja di jabatan kerajaan manakala isterinya pula seorang suri rumah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.
No comments:
Post a Comment