KUALA LUMPUR: Seorang bomoh wanita melakukan rawatan pelik dengan menyebat dua beranak menggunakan rotan kononnya untuk menghalau hantu dan roh jahat ketika kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan bagi menghilangkan penyakit migrain.
Akibatnya, wanita berusia 50-an yang bergelar ‘hajah’ itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis berikutan anaknya cedera dan dia turut dirotan ketika cuba menghalang dukun terbabit merotan anaknya.
Menurut sumber polis, ketika ditahan pengamal perubatan tradisional terbabit terpaksa diasingkan dan dibiarkan berseorangan dalam sebuah lokap kerana dia mengamuk dan meracau sehingga membuatkan beberapa tahanan lain takut.
Selain itu, beberapa anggota polis mengadu tidak tahan dengan ‘gangguan’ selepas wanita terbabit dibawa ke lokap dan mereka mendakwa ternampak bayangan serta lembaga yang berlegar di balai.
Sumber itu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada 2 Ogos lalu ketika ibu mangsa yang juga berusia 50-an membawa anak gadisnya mendapatkan rawatan penyakit migrain.
“Untuk memulakan rawatan hajah meminta gadis berusia 19 tahun itu berbaring dan selepas itu dia memulakan rawatan peliknya iaitu memukul menggunakan rotan di seluruh tubuh mangsa.
“Tidak tahan melihat anaknya menjerit kesakitan, ibu mangsa meminta hajah itu berhenti memukul, namun dia turut dipukul dengan rotan, selain diberi amaran akan dibunuh jika mencampuri atau mengganggu rawatannya,” katanya.
Menurutnya, disebabkan takut dengan ugutan dan curiga dengan kelakuan pelik hajah yang seolah-olah tidak waras itu, ibu mangsa membiarkan wanita terbabit meneruskan rawatannya.
“Selepas urusan rawatan selesai, ibu mangsa membawa anaknya pulang sebelum membawa gadis berkenaan ke hospital untuk rawatan selepas melihat ada kesan cedera pada tubuh anaknya.
“Doktor yang melihat kecederaan mangsa terkejut apabila diberitahu punca kejadian dan menasihatkan ibu mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa lebam di seluruh badan, leher, telinga dan tapak tangan, namun dia stabil manakala ibunya cedera ringan di tangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan ibu mangsa.
Menurutnya, susulan itu, seorang wanita ditahan pada hari sama dan polis merampas rotan yang digunakan wanita terbabit ketika merawat mangsa.
“Kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment