Thursday, July 28, 2011

berhenti sekolah kerana miskin


Akibat kemiskinan, Khairul berhenti sekolah

Nik Khairul Zaman Zahari menyusun kotak sebelum dijual bagi menyara keluarganya di Kampung Cina, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 27 Julai - Akibat kemiskinan, seorang pelajar tingkatan empat, Nik Khairul Zaman Zahari, 16, terpaksa berhenti sekolah bagi membantu bapanya menyara keluarga dengan mengutip barangan terbuang sekitar bandar ini.

Remaja terbabit berhenti sekolah awal tahun ini bagi membolehkan dia menumpukan sepenuh masa dengan 'kerjaya' tersebut dan memperoleh pendapatan kira-kira RM15 sehari.

Jika sebelum ini, dia bangun pagi untuk ke sekolah, namun kini rutin hidup anak sulung daripada tiga beradik berusia antara satu hingga 16 tahun itu berubah apabila sebelah pagi membantu ibunya, Nik Suriani Deris, 37, menghantar adiknya berusia lapan tahun yang menghidap sakit sawan ke sebuah sekolah pendidikan khas.

Pada sebelah petang, dia mengutip barangan terbuang seperti kotak dan botol-botol sekitar bandar ini, sebelum dijual kepada peraih.

"Saya terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga. Sebagai anak sulung saya berusaha membantu keluarga mencari rezeki halal dengan mengutip kotak dan barangan terbuang.

"Duit hasil jualan kotak dan barangan terbuang itu akan saya berikan kepada ibu untuk membeli beras dan makanan keperluan harian bagi kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cina dekat sini, semalam.

Menurut Nik Khairul, tekanan hidup yang dialami oleh keluarganya menyebabkan dia tidak lagi bersemangat untuk meneruskan persekolahan, ditambah pula dengan prestasi pelajarannya yang semakin merosot.

Lantaran itu, katanya, dia sanggup mengorbankan masa depan demi membantu bapanya, Zahari Musa, 43, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan.

"Emak saya tidak bekerja dan terpaksa menjaga adik-adik yang salah seorang daripadanya mengalami penyakit sawan," katanya.

Sementara itu, Nik Surina mengakui masalah tekanan hidup menyebabkan anak sulungnya itu terpaksa berhenti sekolah dan pendapatan yang diperoleh hasil jualan barangan terbuang itu sedikit sebanyak telah membantu keluarga.

"Saya tidak tahu nak cakap apa lagi, dia sudah tidak mahu ke sekolah. Lagi pun yuran Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak bayar lagi. Jadi slip keputusan peperiksaan tidak dapat ambil.

"Mujurlah anak kedua saya masih bersekolah dan dia menerima bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500 setahun," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment