Thursday, July 21, 2011

pointer 3.88 akhirnya tolong ibu menjahit

Masih adakah cahaya harapan?

SAYA sebagai salah seorang lepasan matrikulasi amat tertarik dengan luahan Ibu Prihatin dalam ruangan ini pada 18.7.2011. Saya juga seperti anak Ibu Prihatin yang tidak sabar untuk menyemak keputusan ke IPTA pada 15 Julai lalu.

Alhamdulillah saya berjaya mendapat tempat di universiti tempatan dengan jurusan yang sememangnya saya idamkan walaupun pointer saya tidaklah sebagus mana.

Buat Ibu Prihatin sekeluarga bersabarlah kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.Di sini saya ingin memberi beberapa pendapat tentang apa yang Ibu Prihatin adukan.

Pertamanya tentang kelulusan ataupun pointer anak Ibu Prihatin. Ketika saya masih menuntut di matrikulasi pernah pensyarah berkata bahawa pilihlah universiti dan jurusan yang layak dengan kita. Jangan hanya memilih universiti yang hebat walaupun pointer anda 4.0.

Saya agak kurang yakin akan kata-kata beliau pada mulanya. Lalu beliau ceritakan lagi tentang bekas anak muridnya juga pelajar matrikulasi tersebut yang mendapat keputusan cemerlang iaitu lebih kurang 3.88 tetapi tidak mendapat mana-mana tempat di universiti. Akhirnya pelajar itu hanya menolong ibunya menjahit.

Sukar untuk percaya bukan? Tetapi itulah realitinya. Baru-baru ini bila keputusan UPU keluar saya amat terkejut kerana rakan yang mendapt 4.0 tidak ditawarkan jurusan yang diminta tetapi hanya diberi jurusan yang beliau sendiri tidak minta. Secara rumusannya, pendapat hati kecil saya mengatakan anak Ibu Prihatin mungkin tersalah membuat pilihan semasa mengisi borang kemasukan ke universiti.

Mengenai arah tuju pelajar matrikulasi yang gagal ke IPTA, percayalah sesungguhnya rezeki itu tetap ada di mana-mana. Rezeki itu dari Allah SWT cuma bezanya cepat atau lambat dan bagaimana rezeki itu diturunkan olehNya.

Mengikut pembacaan saya juga ada pelajar yang gagal menyambung pelajaran setelah tamat matrikulasi tetapi berbekalkan semangat baru mereka bangkit semula kembali ke Diploma. Alhamdulillah mereka berjaya berkat dari Allah dan juga usaha yang tidak kenal putus asa.

Mengenai sesi penerangan yang telah Ibu Prihatin sebutkan, seingat saya ketika mula-mula mendaftarkan diri di matrikulasi setahun yang lalu, pengarah serta tenaga pengajar hanya berkata “sebelah kaki kamu sudah selamat berada di universiti tetapi kamu perlu berusaha ke arah itu”'. Mereka tidak pula memberitahu bahawa tiada seorang pelajar pun yang tidak akan berjaya.

Kepada Ibu Prihatin semoga anak anda berjaya dalam rayuannya. Kepada mana-mana pelajar yang gagal mendapat jurusan yang diminta bersyukurlah kerana anda masih berpeluang menyambung pelajaran. Kepada yang gagal dan tidak mendapat mana-mana tawaran bersabarlah dengan segala dugaan.

HAMBA ALLAH

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment