Tanggung hutang RM80,000, ditipu skim ternakan ikan patin
KLANG 4 Julai - Seorang pekerja swasta di Pahang mendakwa terpaksa menanggung hutang pinjaman bank berjumlah RM80,000 selepas ditipu satu skim pelaburan ternakan ikan patin buah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di Bukit Tinggi di sini.
Syed Idris Syed Ishak, 28, mendakwa, dia terjebak dalam skim pelaburan itu setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan terpedaya janji manis syarikat terbabit yang kononnya bisnes tersebut mampu mendatangkan keuntungan lumayan iaitu RM1,440 sebulan.
"Saya begitu minat dengan perniagaan ini kerana pusat ternakan ikan patin itu yang dijalankan di Temerloh, Pahang berdekatan dengan tempat tinggal saya.
"Saya menandatangani surat perjanjian yang pertama dengan syarikat itu pada Januari 2010 setelah pinjaman bank diluluskan dan berdasarkan perjanjian semua urusan perniagaan dibuat sepenuhnya oleh syarikat terbabit dan sebagai pelabur saya hanya menunggu bayaran bulanan.
"Saya juga diberi sebuah sangkar yang mengandungi 1,800 benih ikan patin dan dalam tempoh enam bulan, anak-anak ikan ini akan dewasa, namun hanya 1,000 ekor ikan dijangka hidup serta boleh dijual di sekitar Lembah Klang," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Syed idris yang baru mendirikan rumah tangga, dia mula menerima habuan sebanyak RM1,020 pada Mac dan RM1,140 pada April tahun lalu.
Bagaimanapun dakwanya, pada bulan berikutnya dan sehingga kini, dia tidak lagi menerima bayaran dan apabila syarikat terbabit dihubungi, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan.
"Kerana tidak berpuas hati, saya pergi ke pejabat syarikat berkenaan dan terkejut apabila mendapati ia sudah ditutup.
"Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sebelum merujuk kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan saya difahamkan terdapat lebih 20 pelabur lain terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah ditipu syarikat yang sama," dakwanya lagi.
Kata mangsa, akibat tertipu dia kini terpaksa membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000 termasuk faedah selama 15 tahun yang dijadikan sebagai modal pelaburan tersebut.
No comments:
Post a Comment