Thursday, July 14, 2011

cef tetak pelanggan tak mau makan

Tukang masak tetak pelanggan enggan jamah makanan

SEREMBAN 13 Julai - Gara-gara terlalu marah terhadap pelanggannya yang enggan makan makanan dimasak setelah memesannya, seorang tukang masak menetak mangsa di sebuah restoran dekat Temiang di sini kelmarin.

Berikutan insiden yang berlaku pukul 9.25 malam itu, mangsa berusia 39 tahun cedera di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ia bermula apabila mangsa yang dipercayai mabuk pergi ke restoran berkenaan lalu memesan satu hidangan.

"Tukang masak itu yang berusia 36 tahun lalu memasak makanan tersebut. Bagaimanapun, apabila makanan yang dipesan sampai, mangsa enggan makan hingga berlakunya pertengkaran.

"Berang dengan mangsa, tukang masak itu mengeluarkan sebilah pisau lalu menetak tangan kanan lelaki itu sehingga cedera," katanya di sini hari ini.

Saiful memberitahu, orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi pihak polis bagi meleraikan pergaduhan antara mereka.

"Beberapa anggota polis yang tiba di tempat kejadian menahan tukang masak itu dan mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan," katanya sambil memberitahu keadaan mangsa kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, tukang masak itu ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment