Wanita dera kucing didenda RM400
PETALING JAYA 27 Julai - Seorang penjaja wanita yang pernah membangkitkan kemarahan penduduk di negara ini apabila aksinya mendera tiga ekor kucing disiarkan di laman YouTube, hari ini didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Chow Xiao Wei, 21, mengaku bersalah bagi dua pertuduhan yang dihadapinya dan didenda maksimum RM200 atau penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan oleh Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah memukul, menendang dan menyakiti dua ekor kucing dengan zalim di hadapan gerai No. 127, Pasar Seri Kembangan, Seri Kembangan di sini antara pukul 4.25 petang dan 5 petang, 19 Februari lalu.
Pertuduhan kedua pula menyebut bahawa Xiao Wei didakwa telah menyebabkan kesakitan dan penderitaan dengan menghempas dan memijak seekor kucing pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Veterinar, Jamadi Badri mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 44(1)(a) dan (d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM200 atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah gerai kepunyaan Cheang Yuen Thim dan tanpa disedarinya, anaknya telah memasukkan rakaman itu ke YouTube pada 20 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment