Friday, July 29, 2011

rumah cantik


Rumah ‘cantik’ jadi tanda tanya

Rumah yang dibina oleh sebuah agensi kerajaan masih belum didiami sejak dua tahun lalu di Bandar Lama Jerantut, Pahang.

Saudara Pengarang,
SAYA ingin menarik perhatian mengenai status sebuah rumah yang begitu cantik dibina di tengah-tengah Bandar Lama Jerantut yang masih belum diduduki atau digunakan untuk tujuan tertentu.

Rumah yang dibina oleh sebuah agensi kerajaan di atas sebuah bukit di sini yang siap hampir dua tahun lalu berdekatan jalan yang sibuk di bandar lama itu kini menjadi tanda tanya orang ramai yang lalu lalang di laluan tersebut.

Premis yang terletak berdekatan Wisma Bina Muda yang menjadi Pusat Perkhidmatan Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan juga menarik perhatian dalam kalangan penduduk yang berurusan di situ.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang singgah bermalam di hotel milik pengusaha pelancongan di bandar ini yang kerap memfokus rumah berkenaan dalam lensa kamera masing-masing di samping ingin mengetahui status berkenaan.

Ada pelancong asing menyifatkan tindakan pihak tertentu membiarkan rumah berkenaan sebagai tidak wajar dan sepatutnya dijadikan pusat penerangan, pameran atau penginapan pelawat yang singgah sebelum dan selepas berkunjung ke Taman Negara, Kuala Tahan.

Projek pembinaan rumah berkenaan merupakan idea yang dipuji dalam kerangka membantu kerajaan negeri merancakkan sektor pelancongan di daerah Jerantut.

Bagaimanapun, jika dibiarkan menjadi projek ‘gajah putih,’ ia pastinya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai termasuk pelancong asing yang berkunjung dan menginap di hotel berdekatan.

Menerusi ruangan Rakan Pahang sebagai wadah teguran yang membina diharap agensi berkenaan dapat memanfaatkan rumah berkenaan untuk tujuan pelancongan sekali gus menaikkan reputasi agensi kerajaan di sini serta mengembalikan keyakinan orang ramai.

SITI ANNE OMAR,

Jerantut

No comments:

Post a Comment