Wednesday, July 20, 2011

buta huruf kena tipu 150 ribu

Lelaki buta huruf diperdaya rakan RM150,000

KUALA LUMPUR 19 Julai - Seorang peniaga mendakwa terpaksa menanggung hutang lebih RM150,000 selepas ditipu oleh rakan kongsi yang menggunakan namanya untuk membuat pinjaman dengan pihak bank sejak tahun 2003.

Lai Heng Kok, 30, mendakwa rakannya berusia 39 tahun, yang dikenalinya sejak tahun itu sering memperdayakannya untuk bersetuju menggunakan namanya ketika memohon pinjaman bank dan kad kredit.

Malah, rakannya juga didakwa sering mangambil kesempatan di atas kekurangan Heng Kok yang buta huruf untuk menandatangani dokumen-dokumen penting dalam urusan pinjaman bank.

Mengulas mengenai perkenalannya dengan rakan itu, mangsa memberitahu, dia dan rakannya itu memulakan perniagaan restoran nasi ayam dengan peruntukan modal bersama.

Bagaimanapun, perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan kerana mengalami kerugian menyebabkan mereka beralih kepada perkhidmatan menjual paip pada 2004.

Menurut Heng Kok, disebabkan tiada keuntungan diperoleh melalui perniagaan tersebut, dia dan rakan itu seterusnya membuka pusat hiburan pada tahun 2007.

"Sepanjang menjalankan perniagaan bersama, dia bukan sahaja sering mengambil duit hasil perniagaan kami tetapi turut membuat pinjaman bank untuk membeli dua buah kereta menggunakan nama saya.

"Pada mulanya saya bersetuju memandangkan dia berjanji untuk melangsaikan hutang tersebut bagaimanapun dia gagal melunaskannya menyebabkan pihak bank mencari saya,," katanya ketika ditemui di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Tambah Heng Kok, dua buah kereta yang dibeli rakannya itu iaitu Toyota Camry dan Nissan Murano bagaimanapun tidak pernah ditunjukkan kepadanya.

Katanya lagi, permohonan kad kredit menerusi bank Maybank, RHB, Ambank dan EON Bank juga dibuat melalui namanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Micheal Chong memberitahu, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada Bank Negara Malaysia untuk menyiasat aduan tersebut.

"Sungguh menghairankan apabila permohonan pinjaman bank yang terlalu banyak mudah diluluskan atas nama seorang individu," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment