Tuesday, July 19, 2011

wanita taiwan pula kena tipu

Wanita Taiwan kerugian RM1 juta

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Julai – Seorang ibu tunggal dari Taiwan sanggup menyerahkan wang lebih RM1 juta dan mencagar rumahnya bagi mendapatkan pinjaman wang untuk diberi kepada dua teman lelaki yang dikenali melalui laman sosial di Internet.

Mangsa berusia 44 tahun yang bekerja sebagai penari mengenali kekasih pertama dikenali sebagai Mark David yang kononnya seorang jurutera berbangsa Inggeris berasal dari United Kingdom (UK) menerusi laman sosial tagged sejak September lalu.

Menurut sumber, sepanjang menjalin hubungan melalui alam siber itu, suspek yang pandai bermain ayat-ayat cinta berjaya memujuk wanita terbabit agar memasukkan wang sebanyak 37 kali berjumlah dolar Taiwan (TW$) 6 juta (RM624,870) ke dalam akaunnya.

“Suspek meminta mangsa membantunya mencari kediaman di Taiwan dan memasukkan wang ke dalam akaun dengan alasan mahu menggunakan wang tersebut untuk pelaburan berikutan wang miliknya telah dibekukan sementara.

“Mangsa langsung tidak mengesyaki dia ditipu dan setia mengirimkan wang kepada suspek sehinggalah dia gagal menghubungi ‘kekasihnya’ itu pada akhir tahun lalu,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, pengalaman ditipu bagaimanapun tidak memberi pengajaran kepada wanita terbabit apabila dia sekali lagi jatuh cinta dengan kekasih siber melalui laman sosial yang sama pada Januari lalu.

Beliau berkata, kepada kekasih baru dikenali sebagai Marcus juga kononnya berasal dari UK, mangsa menceritakan kisah sedih ditipu sebelum itu.

Katanya, Marcus yang berpura-pura simpati terhadap mangsa berjanji akan membantu wanita itu mendapatkan semula wang yang sudah diserahkan kepada bekas kekasih kerana kononnya ada mengenali seorang pegawai di Jabatan Kewangan di UK.

“Bagi mendapatkan semula wang tersebut, Marcus meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sebagai bayaran yuran menguruskan perkara itu dan tanpa berfikir panjang, janda terbabit bersetuju membuat 19 kali pembayaran berjumlah TW3 juta (RM312,435).

“Lebih parah lagi, mangsa sanggup mencagar rumah kepada bank bagi mendapatkan pinjaman wang untuk diserahkan kepada suspek,” katanya sambil memberitahu mangsa hanya menyedari ditipu pada Mei lalu dan akhirnya membuat laporan polis.

Berikutan laporan itu, hasil kerjasama polis Malaysia dan Taiwan, 11 anggota sindiket terdiri sembilan lelaki warga Nigeria, dua wanita dan seorang lelaki tempatan yang terlibat menipu mangsa ditangkap.

Katanya, dua lelaki Nigeria ditangkap merupakan yang menyamar sebagai Mark David dan Marcus, manakala lelaki tempatan pula adalah kakitangan sebuah bank dan salah seorang suspek wanita merupakan teman wanita kepada suspek utama bekerja di sebuah jabatan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut dan tangkapan 11 suspek untuk siasatan lanjut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment