Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Tuesday, July 19, 2011
Chow Kit
Penantian 1,400 peniaga berakhir
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my
PASAR Raja Bot yang sudah berusia 56 tahun sememangnya memerlukan perubahan berikutan keadaannya yang daif walaupun terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 18 Julai – Peniaga-peniaga di Pasar Raja Bot di Chow Kit di sini gembira dengan khabar bahawa pasar yang telah usang dan berusia 56 tahun itu akan dipermodenkan.
Makluman tersebut, yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam ketika melawat pasar yang lebih terkenal dengan panggilan Pasar Chow Kit itu.
Bagi peniaga, pengumuman oleh Muhyiddin itu menamatkan penantian hampir 1,400 peniaga di situ yang sejak sekian lama menanti pembaharuan dilaksanakan terhadap pasar berusia 56 tahun itu.
Seorang peniaga keropok lekor, Mohamad Haris Mohamed Daud berkata, dia sangat teruja setelah mendengar pengumuman berkenaan memandangkan sejak berniaga di situ 20 tahun lalu tidak pernah dilaksanakan pembaharuan di pasar itu.
Dia yakin, pembaharuan yang bakal dibuat nanti akan memberi suasana baru kepada para peniaga dan merancakkan lagi aktiviti perniagaan di situ.
Ujarnya lagi, selama ini peniaga umpama berniaga di sebuah pasar koboi kerana keadaan di situ sangat teruk dan tidak tersusun.
“Pasar ini merupakan sebuah lokasi perniagaan yang strategik dan menjadi tumpuan pelancong. Tindakan pembaharuan ini sememangnya sangat-sangat dialu-alukan,” katanya.
Mohd. Sikin Mohamad, 30, turut menyifatkan pembaharuan yang bakal dilakukan merupakan khabar gembira yang amat ditunggu-tunggu para peniaga di situ.
Katanya, selama ini para peniaga terpaksa berniaga di dalam suasana persekitaran yang sangat kurang selesa.
Ujarnya, selepas perlaksanaan pembaharuan pasar tersebut siap nanti, para peniaga mahupun pengunjung yang datang pasti akan menikmati suasana selesa yang tidak pernah dirasa sebelum ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana tidak terlepas pandang terhadap Pasar Raja Bot ini,” katanya.
Mohd. Rashidi Yaakob, 27, pula berkata Pasar Raja Bot sudah pun uzur dan memang memerlukan perubahan.
Katanya, dia berharap pembaharuan yang bakal dilaksanakan itu dilakukan secara menyeluruh, di mana kedai yang sudah teruk digantikan dengan yang baru.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment