Wednesday, September 29, 2010

Mati Terjun

Penerjun maut jatuh menara


2010/09/29

ALOR SETAR: “Saya nampak ada empat penerjun menjalani latihan di situ. Pada mulanya saya nampak penerjun pertama tersangkut pada tiang lampu, bagaimanapun dia berjaya turun ke bawah.

“Selepas itu, dua lagi rakannya berjaya melakukan terjunan tanpa halangan manakala payung terjun penerjun wanita, iaitu penerjun terakhir, tidak terbuka menyebabkan dia terjatuh ke lantai simen di kaki menara berkenaan,” kata saksi kejadian seorang wanita warga Australia maut selepas payung terjunnya gagal berfungsi ketika sesi latihan sempena program KL Tower International Jump Malaysia 2010 yang dijangka diadakan awal bulan depan di Menara KL.

Saksi berkenaan, Zaidi Zainul Abidin, 41, berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal di jalan berkenaan dan berhenti menyaksikan penerjun menjalani latihan di Menara Alor Setar di sini, semalam.


Menurut Zaidi, dia terkejut melihat payung terjun mangsa tidak terbuka, dipercayai terbelit menyebabkan wanita itu terus jatuh ke lantai simen di kaki menara berkenaan.


Mangsa dikenali sebagai Tantiky Lie Marion, 42, mati di tempat kejadian cedera parah di badan dan kepala. Latihan semalam membabitkan penerjun tempatan dan dua penerjun rakyat asing, termasuk mangsa.


Difahamkan, mereka baru tiba di Alor Setar untuk menjalani latihan base jump bagi program di Menara KL, bulan depan.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang.

Alahai Polis

Anggota polis ditangkap khalwat cedera dibelasah

TELUK INTAN 28 Sept. - Gara-gara berkhalwat dengan isteri orang, seorang anggota polis cedera parah apabila dibelasah penduduk kampung selepas ditangkap berdua-duaan di sebuah rumah di Jalan Changkat Jong di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, sekumpulan penduduk kampung gagal menahan kemarahan apabila mendapat tahu seorang anggota polis berketurunan India berusia 50-an dan bertugas di Balai Polis Labu Kubong dekat sini, berdua-duaan dengan seorang wanita Melayu beranak 10 di sebuah rumah.

Bertindak atas maklumat, mereka kemudian pergi ke rumah wanita itu dan sebaik sahaja pintu dibuka, mereka melihat seorang lelaki India dengan hanya memakai kain pelikat.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, ketika ditanya wanita tersebut mengakui lelaki itu bukan suaminya malah ketika mereka ditangkap, terdapat tiga orang kanak-kanak dipercayai anak kepada wanita berkenaan di rumah berkenaan.

"Kita mengesyaki perkara ini telah banyak kali berlaku dan pernah menegur mereka sebaliknya kami dimarahi," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, akibat tangkapan itu, berlaku satu pertengkaran antara lelaki tersebut dengan penduduk kampung sehingga menyebabkan pergaduhan dan akhirnya mengakibatkan lelaki berkenaan cedera di muka.

"Pasangan terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Teluk Intan untuk disoal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menjelaskan satu siasatan sedang dilakukan.

Tipu Bini

Suami kalah judi, tipu isteri konon diculik ah long

BATU PAHAT 28 Sept. - Hanya kerana kalah berjudi di Genting Highlands, seorang ahli perniagaan di sini, sanggup menipu isterinya sendiri dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya dia diculik oleh ah long.

Lebih teruk lelaki berusia 37 tahun itu, sendiri menyamar sebagai ceti haram tersebut dan meminta isterinya membayar hutang pinjaman sebanyak RM25,000 bagi membebaskan dirinya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, isteri suspek berusia 35 tahun menerima beberapa SMS berbaur ugutan itu pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Katanya, bimbang dengan keselamatan suaminya, wanita yang merupakan pekerja kilang itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada polis.

"SMS-SMS tersebut meminta wanita itu memasukkan wang yang diminta ke dalam satu nombor akaun bank.

"Hasil siasatan, polis mengesan kedudukan telefon bimbit Nokia yang menghantar SMS itu lalu menyerbu sebuah hotel di Genting Highlands, pukul 1 pagi, kelmarin.

"Soal siasat seterusnya mendapati suspek sendiri menghantar SMS-SMS itu dan polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ibrahim berkata, polis menahan lelaki itu dan menyiasat kes tersebut sebagai jenayah pemerasan.

Tuesday, September 28, 2010

Waspada Dengan Peguam Sekarang

Peguam terjerat
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/09/28

KUALA LUMPUR: Seorang peguam ditahan selepas disyaki terbabit dengan penipuan jual beli tanah berharga RM15 juta, pagi semalam.

Peguam berusia 50-an terbabit turut memperdaya kakitangan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu selain memperdaya beberapa mangsa yang berurusan dengannya.

Bagaimanapun, peguam terbabit yang mempunyai modus operandi hampir sama dengan suspek utama yang membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya terjerat selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu rumahnya di Sunway, Subang Jaya, di sini.


Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar, berkata suspek utama terbabit ditahan.


Menurutnya, siasatan polis mendapati peguam berpengalaman terbabit mempunyai kemahiran memalsukan dokumen termasuk geran tanah untuk memperdaya mangsa dan pegawai kerajaan yang menguruskan pindah milik tanah berkenaan.


Ditanya sama ada suspek terbaru yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan peguam dua beradik yang disyaki membunuh Sosilawati pada 30 Ogos lalu, beliau bagaimanapun menafikan kedua-dua kes terbabit mempunyai kaitan.


Beliau berkata, polis memandang serius kes jenayah membabitkan peguam yang disifatkan sebagai golongan profesional berwibawa dan dipercayai orang ramai.


“Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan.


“Daripada jumlah itu, 10 peguam ditahan di Selangor, lapan di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga (Perak), tiga (Negeri Sembilan) dua (Pulau Pinang), empat (Kedah) dan satu (Melaka),” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, pagi semalam.


Menurutnya, semua peguam terbabit ditahan atas pelbagai jenayah antaranya pecah amanah, pemalsuan, penipuan selain pemalsuan afidavit.


“Sehingga kini, polis masih menyiasat 290 kes jenayah membabitkan semua peguam berkenaan yang disyaki melakukan penipuan terancang terhadap ramai mangsa.


“Situasi ini amat mengecewakan berikutan profesion sebagai peguam amat dipercayai masyarakat. Berikutan itu, golongan berkenaan diberikan amanah tinggi oleh pelanggan. Namun, sebaliknya peguam terbabit mengkhianati kepercayaan orang ramai dengan melakukan aktiviti pecah amanah,” katanya.


Menurutnya, golongan terbabit akan terus dipantau dan tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati melakukan jenayah.


Isu sama turut pernah dibangkitkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar minggu lalu yang memberitahu pihaknya sudah membuka 72 kertas siasatan berhubung kes salah laku dan penyelewengan di kalangan peguam sejak 10 tahun lalu.

Papa Jahat

Bapa ganas tiada belas kasihan
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/09/28

KUALA LUMPUR: “Anak sulung lelaki berusia 18 tahun terpaksa bergantung dengan ubat sejak setahun lalu kerana otak mengalami gegaran selepas kepalanya dihentak menggunakan rotan sebesar buluh lemang. Manakala anak kedua (15 tahun) sudah tiga kali patah tangan akibat dipukul.

“Malah, anak perempuan ketiga berusia 14 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berbirat seluruh badan akibat dirotan. Hanya anak lelaki bongsu berusia 10 tahun terselamat daripada kekejaman suami,” kata seorang suri rumah berusia 39 tahun yang enggan namanya disiarkan.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan suaminya selain bimbang keselamatan serta pencapaian anak sulung dan kedua yang masing-masing mendapat keputusan cemerlang iaitu 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan 8A untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, suri rumah terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk menghentikan kekejaman suaminya itu.


Wanita terbabit menceritakan kekejaman suaminya berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel kerana sering melepaskan kemarahan kepadanya, selain membelasah tiga anaknya itu sejak tujuh tahun lalu.


Difahamkan, suspek akan menggunakan rotan berkenaan sebagai ‘senjata’ untuk menghukum anaknya sekiranya dia mendapati mereka melakukan kesalahan.


Dalam kes terbaru di rumah mereka di Gombak, di sini, kelmarin, lelaki itu membelasah anak keduanya sehingga patah tangan kanan hanya kerana disebabkan kesalahan kecil.


Difahamkan, suspek berang selepas anak keduanya itu kononnya tidak mendengar arahannya supaya tidak membuat bising kerana dia mahu tidur selepas pulang bekerja.


Menurut suri rumah berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suaminya yang bagaikan dirasuk syaitan membelasah anak perempuannya itu hampir 20 minit.


“Walaupun saya cuba menenangkan suami, dia tidak mengendahkannya sebaliknya mengugut untuk mencederakan seluruh keluarga.


“Saya hanya menangis melihat kekejaman suami membelasah anak seperti binatang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Menurutnya, anaknya itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebelum tangannya yang patah dirawat dan dibenarkan pulang ke rumah.


Katanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku terhadap anak-anaknya sebaliknya mereka sekeluarga bagaikan hidup dalam ‘neraka’ sejak tujuh tahun lalu.


“Anak sulung, bukan saja mengalami kemurungan kerana sering dibelasah sebaliknya dia terpaksa bergantung kepada ubat kerana otaknya mengalami gegaran akibat kepalanya dipukul bapanya.


“Anak ketiga yang juga OKU turut menjadi mangsa kekejaman suami. Mungkin kerana dia (bapa) tidak dapat menerima anaknya yang cacat itu menyebabkan dia sanggup memukulnya,” katanya.


Beliau berkata, suaminya yang dikahwini sejak 20 tahun lalu, sebelum ini seorang yang sopan dan mula berubah perwatakan sejak tujuh tahun lalu.


“Saya tidak tahu apa masalahnya, dia (suami) mula menjadi bengis dan pemarah atas kesalahan kecil sebelum memukul anak-anak,” katanya.


Sebaik menerima laporan itu, polis memberkas suspek di rumahnya bagi membantu siasatan.


Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan difahamkan, lelaki terbabit akan dikenakan pertuduhan hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan penahanan lelaki terbabit.


“Kami sudah merakamkan percakapan lelaki itu (suspek), pengadu (isteri suspek) termasuk mangsa (anak- anak suspek) bagi membantu siasatan. “Malah, kertas siasatan sudah lengkap dan kami (polis) bersedia untuk membuat pertuduhan,” katanya.

Saturday, September 25, 2010

Rompak Dulu Sebelum Ambil Anak

Rompak bank sebelum jemput anak di sekolah


2010/09/25

GRANTS PASS (Oregon): Seorang ibu didakwa merompak sebuah bank sebelum bergegas ke sekolah untuk menjemput anaknya, lapor media, semalam.

Erica Anderson dikatakan merompak sebuah bank di Grants Pass dan melarikan diri menaiki kereta dipandu seorang remaja berusia 19 tahun, Joshua Tseu.

Saksi mencatat nombor kereta berkenaan dan melaporkannya kepada polis.


Apabila Erica, 37, tiba di rumahnya bersama dua anaknya kira-kira sejam kemudian, polis menahannya, manakala Tseu diberkas tidak lama kemudian.


Polis turut menemui kereta yang digunakan ketika bersubahat dengan Erica di rumah remaja terbabit. - Agensi

Kena Jel 14,400 Tahun Kerana Merogol

Penarik beca dipenjara 14,400 tahun kerana rogol anak


2010/09/25

MANILA: Seorang lelaki dihukum penjara 14,400 tahun kerana merogol anak remajanya hampir setiap malam selama setahun, kata pegawai perundangan, semalam, selepas mahkamah menolak rayuan dikemukakan tertuduh sebelum ini.

Lelaki terbabit - seorang penarik beca - menjadikan anaknya perempuan berusia 13 tahun sebagai pemuas nafsu ketika isterinya pergi ke Hong Kong untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Hakim Mahkamah Rayuan, Mario Guarina, berkata kes itu adalah yang paling serius dilakukan ke atas remaja dalam sejarah perundangan Filipina.


Guarina mengekalkan sabitan mahkamah terdahulu pada Mac 2006 yang mendapati tertuduh bersalah atas 360 tuduhan rogol.


Mahkamah juga mengarahkan dia dihukum penjara 40 tahun bagi setiap kesalahan.


Pada asalnya, penarik beca itu dihukum mati tetapi Filipina membatalkan pelaksanaan hukuman itu tiga bulan kemudian.


Mahkamah diberitahu, bapa kepada tiga anak itu mula merogol mangsa pada Januari 2001 dan berlanjutan 368 hari. - AFP

Wednesday, September 22, 2010

Nak Belajar Pun Kena Tipu


Kerani tipu pelajar Korea RM70,000


Jung Sook Yong menujukkan laporan polis yang dibuat selepas dipercayai ditipu oleh seorang kerani di Ampang, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Impian sekumpulan pelajar warga Korea untuk menimba ilmu di sebuah kolej di Gombak tidak kesampaian apabila mereka ditipu seorang ejen pendaftaran kemasukan pelajar di negara ini baru-baru ini.

Mereka mendakwa ditipu oleh seorang perempuan yang bertugas di kolej itu sebagai kerani yang berusia lingkungan 20-an.

Pengurus ejen pelajar Korea di Malaysia, Jung Sook Yong, 52, yang mewakili 13 pelajar Korea berkenaan berkata, beliau merupakan ejen yang menguruskan senarai pendaftaran kemasukan pelajar Korea ke negara ini.

"Saya telah menguruskan dan membuat segala pembayaran seperti tertera dalam surat perjanjian, namun sehingga kini pihak pengurusan kolej terbabit masih tidak memaklumkan tarikh kemasukan pelajar.

"Pihak kami mula rasa tertipu apabila tarikh tersebut sudah berkali-kali ditunda dan diberikan pelbagai alasan sejak Disember 2008 oleh individu terbabit," katanya ketika ditemui di perumahan Korea di Ampang dekat sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua pelajar di bawah pengurusan syarikatnya itu telah membuat pembayaran termasuk yuran kemasukan dan urusan pas lawatan pelajar.

"Saya telah membuat urusan dengan wanita tersebut dan setelah disiasat barulah pihak kami tahu bahawa dia hanyalah seorang kerani pengurusan kolej tersebut.

"Menyedari penipuan itu, pihak kami berjumpa dengan pengurusan kolej terbabit namun sehingga kini tiada tindakan dilakukan terhadap kolej terbabit," katanya lagi.

Menurutnya, selain mangsa mengalami kerugian kira-kira RM70,000, reputasi syarikatnya juga tercalar dan terpaksa membayar semula kepada pelajar terbabit.

Alu/Antan Lesung Jadi Senjata

Didakwa rompak guna alu lesung

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kebiasaannya alu lesung digunakan untuk membantu suri rumah dalam menyediakan juadah di dapur tetapi bagi seorang bekas pengurus stor lain pula kegunaannya.

Tertuduh, Daniel Adam Mohamad Ghani, 33, didakwa menggunakan alu lesung dan pemutar skru untuk merompak bekas rakan sekerjanya yang juga pengurus sebuah kafe, Ratih Purnasih Saprudin, 22.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi, 5 September lalu di kafe tersebut di Plaza Low Yatt, Dang Wangi di sini, mangsa didakwa mengalami kerugian RM7,400 dan cedera di bahagian kepala.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 394 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun hari ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Kamar Jamaludin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak, hakim menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pada ketika ini, adik perempuan tertuduh yang berada di galeri awam tiba-tiba bangun dan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

"Saya mohon jumlah tersebut dikurangkan Yang Arif. Saya datang ke sini naik bas dan hanya ada RM3,000. Saya bekerja sebagai penjawat awam dan turut menanggung dua anak abang saya selepas dia bercerai dan ibu saya yang menghidap penyakit kanser," rayu gadis tersebut.

Hakim tersebut kemudian menjelaskan kepada adik tertuduh bahawa jumlah jaminan yang ditetapkan adalah wajar memandangkan pertuduhan ke atas Daniel Adam adalah serius.

Sunday, September 19, 2010

Menyamar

Wan Chik syukur hajat suami meninggal Jumaat termakbul
Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian,com.my
2010/09/19


Wan Chik Daud
Hasrat pelakon dikebumi bersebelahan pusara ibu juga dilaksana

KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk meninggal dunia pada hari Jumaat termakbul. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 10.45 malam kelmarin.

“Saya diberitahu Allahyarham juga mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2 Ramadan tahun lalu dan hal itu juga dipenuhi keluarganya. Saya bersyukur akhirnya dia dijemput Penciptanya kerana memang itu kehendaknya.
“Dulu dia pernah berkata akan menjadi insan yang paling bahagia jika nyawanya dicabut Tuhan pada usia 63 tahun seperti mana usia wafatnya Nabi Muhamad SAW. Memang sudah lama dia bersedia bertemu dengan Tuhan dan persoalan mengenai akhirat sentiasa meniti dibibirnya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Bekas pembaca berita RTM itu berkata, beliau juga diberitahu saat Allahyarham sedang nazak, mulutnya tidak pernah lekang menyebut kalimah suci.

“Allahyarham sangat ceria orangnya. Dia sangat kasih kepada Allah dan Rasul. Dia berlakon pun atas tiket berdakwah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dia juga tak nak saya berkahwin lagi. Dialah pemimpin, kawan dan tempat mengadu saya selama ini. Dia tiada tolok bandingnya,” katanya.

Menurut Wan Chik lagi, dia tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ di antaranya dan keluarga isteri pertama yang pernah dilaporkan media sebelum ini. Wan Chik juga mengiyakan bahawa dirinya masih lagi isteri kedua kepada Allahyarham.
Katanya, dia hanya dapat tahu mengenai berita nazak Allahyarham daripada pelakon Kartina Aziz dan jiran yang menghubungi.

Mengenai ketiadaannya pada majlis pengebumian itu, Wan Chik berkata tiada guna jika hanya dapat menjenguk mayat suaminya yang sudah terkujur kaku.

“Sudah setahun setengah saya tidak bertemu dengan suami sepanjang hayatnya masih ada. Jadi kalau alang-alang nak tengok, lebih baik saya dapat melihatnya ketika masih bernyawa. Saya rasa tak perlu untuk saya bertemu dalam keadaan begini.

“Sekalipun kami tak dapat bersua di dunia, harapnya kami dapat bertemu kembali di akhirat. Saya hanya mampu pasrah dan reda dengan ketentuan ini. Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu menghadiahkan bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah kepada Allahyarham.

“Saya amat merinduinya dan yakin Allahyarham juga melalui perkara yang sama. Tiada guna ke sana (tanah perkuburan) hanya kerana mahu berdepan dengan orang ramai dan menangis sedangkan Allahyarham sudah tiada di muka bumi,” kata Wan Chik.

Tidur Dulu Lepas Mencuri

Perompak ditangkap selepas tertidur dalam rumah mangsa

PULAU PINANG 18 Sept. - Seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengaku sebagai pembantu kepada seorang Yang Berhormat ditahan polis selepas tertidur di rumah yang dirompaknya di Jalan Rumbia di sini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang kelmarin ketika mangsa yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah maktab perguruan bersama isteri serta anaknya baru pulang daripada bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mereka sekeluarga terkejut apabila melihat keadaan rumah teres dua tingkat itu berselerak.

Keluarga berkenaan kemudian memeriksa bilik tidur anak mereka dan menemui seorang lelaki tidak dikenali tidur nyenyak di atas katil.

Menyedari lelaki berkenaan merupakan pencuri, mereka mengunci rumah tersebut dan menghubungi polis sebelum beredar dari situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, sebuah kereta peronda polis yang kebetulan lalu di kawasan itu pergi ke rumah tersebut.

"Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri melalui tingkap dapur yang diumpil yang juga laluan sama dia masuk ke rumah tersebut. Kita berjaya menahan suspek kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua anak meninggalkan beg yang mengandungi hasil curi seperti barang kemas dan jam tangan bernilai RM10,000 milik mangsa akibat tergesa-gesa semasa cuba melarikan diri.

Tambah Kong Meng, suspek tersebut mempunyai 14 rekod kesalahan lampau melibatkan sembilan kes jenayah dan lima kes dadah.

"Polis turut merampas kereta suspek jenis Honda Accord yang diletakkan di depan rumah mangsa. Kereta berkenaan baru dibeli suspek dan semakan menunjukkan kereta itu didaftarkan atas namanya," ujarnya.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk premis tanpa mengakibatkan kerugian.

Hasil pemeriksaan air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah.

Saturday, September 18, 2010

Jangan Turutkan Hati

Gadis diminta putus tunang dua kali cuba bunuh diri


2010/09/18

KOTA KINABALU: Lantaran terlalu kecewa serta tidak dapat menerima hakikat dirinya bukan pilihan sebagai calon menantu, seorang gadis bertindak mengelar perut sendiri selain minum minyak pelincir.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di Kampung Tigot di sini, gadis berusia 17 tahun itu ternyata masih panjang umur kerana tindakan bodohnya itu disedari ibunya, lalu segera menghantarnya ke hospital untuk rawatan.

Gadis berkenaan sebelum itu hilang pertimbangan berikutan kecewa apabila ibu tunangnya meminta dia memutuskan pertunangan dengan anaknya kerana tidak menyukainya.


Berasa terhina dengan kata-kata ibu tunangnya, mangsa cuba membunuh diri dengan mengelar perut menggunakan kaca cermin yang dipecahkan, namun perbuatannya itu disedari ibunya yang terdengar jeritan mangsa.


Perbuatannya itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan serius di perutnya sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.


Bagaimanapun, tindakan mangsa tidak berakhir di situ kerana selepas dibenarkan pulang, gadis berkenaan sekali lagi memberikan kejutan kepada keluarganya apabila meminum minyak pelincir kenderaan ketika berada bersendirian di dalam biliknya.


Perbuatan gadis berkenaan sekali lagi disedari ibunya selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila anaknya itu berdiam diri di dalam bilik sebelum membawanya ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sudah merekodkan kenyataan daripada gadis terbabit.


“Siasatan awal polis mendapati mangsa bertindak sedemikian berikutan mengalami tekanan perasaan akibat tidak disukai ibu tunangnya.


“Mangsa bertindak mengelar sendiri perutnya dengan cermin, namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah kira-kira sejam kemudian. Namun, kira-kira jam 9 pagi keesokan harinya, dia sekali lagi cuba membunuh diri dengan meminum bahan pelincir motosikal.


“Mujur, perbuatannya itu sekali lagi disedari ibunya. Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan lanjut di hospital. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

RM 4000 Untuk Bakar Muka


Bayar RM4,000 wajah terbakar
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/09/18

KUALA LUMPUR: Impian untuk memiliki kulit mulus seperti seorang artis membawa padah kepada seorang gadis apabila kosmetik yang dibeli dengan harga RM4,000 menyebabkan kulit wajahnya terbakar dan melecur seolah-olah disambar api.


SAKIT...Patricia menunjukkan gambar wajahnya yang terbakar.
Kosmetik yang dipakai mangsa terbabit turut menyebabkannya mengalami kegatalan kulit yang luar biasa selain tumbuh bintik nanah pada wajahnya walaupun sebelum ini tidak menghadapi sebarang alahan terhadap alat solek jenama tempatan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Patricia, 33, berkata, dia mula mengenali produk kosmetik berjenama terkenal dari Hong Kong itu selepas menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat kecantikan yang menawarkan pemeriksaan kulit wajah percuma pada Jun lalu.


Menurutnya, dia yang teruja dengan janji pakar kecantikan terbabit bersetuju menjalani pemeriksaan kulit sebelum diberitahu kulit wajahnya menghadapi masalah serius dan perlu menggunakan kosmetik disyorkan.


“Saya dicadangkan membeli satu set produk penjagaan wajah bernilai RM4,000 sebelum diberi arahan supaya menggunakan produk terbabit setiap hari.


“Namun, selepas dua minggu menggunakan produk terbabit, saya terkejut apabila kulit wajah bertukar kemerah-merahan seperti udang bakar. Malah, saya rasa terseksa apabila kulit wajah terasa panas seolah-olah dibakar,” katanya.


Menurutnya, dia yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada wajahnya pergi ke syarikat kecantikan itu untuk mendapatkan penjelasan.


“Bagaimanapun, pakar kecantikan terbabit memberitahu tindak balas yang dialami kulit wajah saya itu perkara biasa.


“Malah, dia memberitahu kesan terbakar itu berkemungkinan disebabkan saya kekurangan air di dalam badan. Saya dipujuk supaya membeli lebih banyak produk kosmetik dari syarikat terbabit.


“Namun, saya masih mengalami nasib sama apabila kulit muka saya semakin teruk hingga menyebabkan sensitif kepada cahaya matahari,” katanya.


Mangsa berkata, dia menghentikan penggunaan produk kosmetik terbabit sebelum pergi mendapatkan pemeriksaan doktor pakar pada 24 Ogos lalu.


“Doktor berkenaan terkejut dengan keadaan terbabit dan mengarahkan saya menghentikan pemakaian produk itu.


“Dia memberitahu kulit muka saya sensitif dan tidak sesuai memakai sebarang produk kosmetik. Saya diberikan ubat khas bagi menghilangkan kesan terbakar itu,” katanya.


Berang dengan keadaan itu, mangsa pergi ke syarikat kosmetik terbabit bagi menuntut ganti rugi.


“Bagaimanapun, syarikat terbabit enggan memulangkan duit yang dilaburkan untuk membeli kosmetik berkenaan dengan mendakwa polisi syarikat menolak sebarang bayaran ganti rugi.


“Saya yang memulangkan semua produk dibeli itu, bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila semua bukti terbabit diambil pihak syarikat,” katanya.

Friday, September 17, 2010

Bomoh Cabul

Rakam adik dicabul bomoh
Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
2010/09/17

SEGAMAT: Lelaki bernafsu binatang ini layak digelar bomoh durjana kerana selain menjual patung bernilai RM10 pada harga RM1,000 kepada pelanggannya, dia turut membogelkan pesakit serta merogol remaja bawah umur kononnya untuk membuang sial.

Difahamkan lelaki berketurunan Siam berkenaan turut mempunyai 15 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk buang daerah, penipuan, cabul dan rogol.

Dalam kes terbaru yang dilaporkan awal Ogos lalu, suspek bukan saja mencabul seorang remaja berusia 13 tahun, malah turut merogolnya beberapa kali kononnya untuk membuang sial yang dialami mangsa sejak lahir.


Malah, dia turut memperdaya keluarga mangsa supaya membeli patung pemujaan bernilai lebih RM1,000 sedangkan barangan itu berharga sekitar RM10 di pasaran.


Mangsa yang masih bersekolah di tingkatan satu di sebuah sekolah di sini turut dipaksa melakukan seks oral dan lebih mengaibkan lagi gambar bogelnya dirakam untuk dijadikan koleksi pelik bomoh terbabit.


Menceritakan semula peristiwa hitam itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khoo, 35, berkata dia mula mengenali lelaki berkenaan yang berusia 57 tahun ketika bercuti di Terengganu sekitar 2004.


Katanya, lelaki itu amat dikenali masyarakat sekitar kerana kebolehan ajaibnya termasuk mampu menghilangkan diri selain mempunyai ramai pengikut.


“Saya tertarik dengan perubatan pelik dia apabila diberitahu rakan yang lelaki itu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk membuang sial seseorang.


“Kebetulan pula pada masa itu adik saya mahu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan dia sering gagal dalam ujian, malah lemah dari segi pembelajaran,” katanya ketika ditemui di rumah mereka.


Menurut Khoo, dia bertemu suspek dan lelaki terbabit memberitahu adiknya itu dilahirkan sebagai seseorang yang akan mempunyai pelbagai masalah sepanjang hidupnya.


Terkejut dengan pendedahan itu, katanya, keluarga membawa adiknya bertemu dengan suspek yang mendakwa mampu mengubah nasibnya dengan mengadakan satu pemujaan aneh.


“Saya diarahkan lelaki berkenaan untuk menjadi pembantunya dengan merakam segala perbuatannya ketika cuba untuk memulihkan adik saya.


“Adik saya diarahkan menanggalkan pakaiannya sebelum diminta untuk duduk seperti patung Buddha dan pada masa yang sama lelaki terbabit turut mencium dan meraba adik yang kononnya disifatkan sebahagian daripada upacara pemujaan,” katanya.


Mangsa yang seakan berada dalam separuh sedar hanya mengikut saja kehendak bomoh itu dan lebih menjijikkan lagi dia dipaksa melakukan seks oral sebelum lelaki terbabit merogolnya beberapa kali.


Khoo berkata, peristiwa itu berulang beberapa kali sejak setahun lalu namun nasib adiknya itu tidak berubah, malah dia kerugian lebih RM1,000 kerana dipaksa membayar harga sebuah patung.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 15 Ogos lalu ketika dia cuba melarikan diri ke Seremban.

Wednesday, September 8, 2010

Mahu Anak Cari Dekat Tong Sampah


Tangisan tepi tong sampah
Oleh Zulfa Mohamad

2010/09/08

KEPALA BATAS: “Orang yang buang bayi ini bukan manusia, tapi binatang,” kata Norhaidah Abu Ahmad, 42, yang menemui bayi lelaki bersama anaknya di tepi tong sampah dekat Sungai Korok, di sini, semalam.


DI SINI..Norhaidah menunjukkan tempat bayi ditemui, semalam.
Sebelum menemui bayi berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi, Norhaidah dan anaknya, Nordiana Halidan, 21, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke Pinang Tunggal untuk membeli arang.

Norhaidah berkata, dia memberhentikan motosikal untuk membuang bungkusan sampah dibawanya ke dalam tong di tepi jalan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tangisan bayi.

“Saya terkejut apabila anak saya mengatakan ada bayi dalam bungkusan plastik merah berbalut kain batik dengan uri masih bersamanya.

“Mulanya saya takut kalau orang salah sangka menuduh saya yang buang bayi itu. Oleh kerana kasihan melihat keadaannya, saya membawanya pulang ke rumah dan memberinya minum susu,” katanya yang menghantar bayi berkenaan ke Pondok Polis Kampung Selamat jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki dekat tong sampah sebelum diserahkan kepada polis di Kampung Selamat.

Katanya, bayi berkenaan seberat 2.9 kilogram dipercayai dilahirkan dalam tempoh satu jam sebelum dibuang dekat tong sampah.

“Dia dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan baik,” katanya.

Tuesday, September 7, 2010

Kerang Babi


Kerang atas darah babi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/07

KUALA LUMPUR: Penggemar kerang dan selalu membelinya di Pasar Chow Kit, di sini, patut berfikir dua kali untuk membeli makanan itu berikutan penemuan mengejutkan pusat memproses kerang yang didapati berjiran dengan pusat penyembelihan daging babi di pasar berkenaan.


KOTOR...dua peniaga kerang membungkus kerang berhampiran lokasi penyembelihan daging babi di pasar Chow Kit.
Penemuan itu dikesan selepas sepasukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjalankan pemeriksaan mengejut di pasar Chow Kit bagi mengenal pasti peniaga yang melakukan kesalahan mengikut hukum syarak.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi kelmarin, tiga peniaga kerang sibuk membungkus longgokan kerang dianggarkan seberat lebih 50 kilogram yang ditaburkan ke atas lantai pasar berkenaan.


Bagaimanapun, agak memeranjatkan apabila kerang yang mahu dijual kepada orang ramai itu didapati hanya kira-kira dua meter dari daging babi yang belum dilapah dan berdarah.


Sumber Jakim berkata, babi terbabit yang sudah dipotong dua dikesan baru dihantar pembekal ke pasar berkenaan sebelum diletakkan di atas kerusi batu di pusat menjual babi itu bersama bahagian organ lain antaranya hati dan limpa.


“Bagaimanapun, darah haiwan berkenaan mengalir dan membasahi lantai yang digunakan peniaga kerang untuk meletakkan kerang di kawasan berkenaan.


“Apabila ditanya, peniaga kerang terbabit seolah-olah tidak mengetahui ia perbuatan yang boleh mengundang rasa kurang senang pengguna Islam. Peniaga berusia 50-an terbabit mendakwa kerang berkenaan hanya perlu dibersihkan dan dijual kepada pelanggan di pasar berkenaan,” katanya.


Menurutnya, lokasi memproses kerang dan pusat penyembelihan daging babi terbabit yang terletak di tempat sama dianggap tidak strategik dan boleh menjadi haram dimakan sekiranya berlaku percampuran antara air atau darah khinzir dengan kerang yang diproses.


Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah yang melihat lokasi penyembelihan babi di pasar Chow Kit menganggap kawasan berkenaan sudah uzur dan tidak sesuai untuk dijadikan pusat pemprosesan makanan halal.


Menurutnya, kawasan pemprosesan babi terbabit tidak hanya terletak berdekatan pusat memproses kerang, malah turut terletak bersebelahan dengan pusat penyembelihan dan memproses ayam daging.

Jualan Murah Konon

Awas! Taktik jualan murah

Saudara Pengarang,

JUALAN murah, harga runtuh, tawaran potongan harga 50 hingga 80 peratus merupakan ayat yang 'popular' terutamanya apabila menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi.

Ayat yang bakal menarik perhatian para pengguna itu boleh dilihat di merata-rata tempat sama ada dari sekecil-kecil kedai hinggalah ke kompleks beli-belah terkemuka.

Apa yang menjadi persoalan adalah sama ada benarkah jualan murah itu benar ataupun ia sekadar untuk mengaburi mata pengguna.

Sesetengah peniaga menaikkan harga barangan terlebih dulu kemudian baru membuat potongan harga. Inilah merupakan taktik jualan murah yang biasa digunakan oleh peniaga yang tamak dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Namun, tidak dinafikan tidak kesemua peniaga yang menipu pengguna tetapi tindakan segelintir peniaga itulah yang mencemarkan nama peniaga lain bak pepatah 'kerana nila setitik, habis susu sebelanga'.

Oleh itu, pengetahuan pengguna mengenai harga semasa bagi sesetengah barang amat diperlukan supaya mereka tidak terperangkap dengan taktik jualan murah.

Pengguna yang bijak sentiasa membuat perbandingan harga dan memantau harganya dari masa ke semasa supaya mereka tidak terperangkap dengan kejutan harga sesuatu barang.

Pengguna mempunyai kuasa membeli yang besar. Seandainya curiga dengan mana-mana harga sesuatu barangan meskipun ditanda dengan harga potongan harga atau sebagainya, mereka hendaklah bertindak dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula diharap dapat melakukan pemantauan yang lebih kerap bagi di kedai dan kompleks membeli belah ini agar tiada pengguna menipu pengguna atas nama jualan murah.

Tindakan yang tegas harus dikenakan kepada mana-mana peniaga yang didapati menipu termasuklah lesen perniagaan mereka digantung.

Kepada pengguna, mari kita bijak dalam berbelanja.

PENGGUNA BIJAK,

Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Sunday, September 5, 2010

Jepun





Tentera Jepun kena 'dera'


TENTERA Jepun memang kejam. Mereka memancung kepala, menyuruh minum air sabun, menikam dengan bayonet, mengerah menjadi buruh paksa dan membakar hidup-hidup sesuka hati.

Itu sudah biasa kita dengar kala berbicara tentang keganasan tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu lebih enam dekad lalu. Sehinggakan frasa 'penampar Jepun' pun masih melekat hingga hari ini.

Namun, sekejam-kejam tentera Jepun, ada juga dalam kalangan mereka yang pengsan apabila giliran mereka pula 'didera'.

Cerita sejarahwan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, apabila Jepun mengaku kalah dan tentera British kembali ke Tanah Melayu, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa membersihkan kawasan bandar dan ada juga yang dihukum berlari.

Di Teluk Intan, Perak misalnya, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa oleh tentera British untuk mengutip sampah di bandar itu dan diarah berlari sejauh 42 kilometer dari Teluk Intan ke Bidor.

"Masa itu umur saya lapan tahun. Tentera Jepun sudah mengaku kalah dan akan berundur.

"Sementara menunggu detik untuk dibawa pulang ke tanah air mereka, tentera British telah 'mengenakan' mereka.

"Saya nampak puluhan tentera Jepun dipaksa kutip sampah dan berlari begitu jauh. Sampai ada yang pengsan.

"Mereka yang pengsan kemudian dicampak ke dalam lori," kata Kay Kim, 73, kepada Jurnal saat diminta mengimbas peristiwa Jepun mengaku kalah pada 1945.

September ini, genap 65 tahun berakhirnya derita penduduk Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun dan tamatnya polemik militari global, Perang Dunia Kedua amnya.


UPACARA serah kuasa Jepun kepada British yang berlangsung di Victoria Institution, Kuala Lumpur 65 tahun lalu.

Kapal Amerika Syarikat, USS Missouri menjadi saksi usainya perang itu apabila Jepun memeterai dokumen mengaku kalah di atas kapal itu pada 2 September 1945.

Victoria Institution

Gugurnya bom atom yang meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki beberapa minggu sebelum itu memberi tekanan kepada Negara Matahari Terbit itu dan mendorong kepada kekalahannya.

Di Tanah Melayu, Jepun mengaku kalah secara rasminya pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Upacara yang sama turut berlangsung di Singapura.

Sambung Kay Kim, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu kebanyakannya kanak-kanak berkumpul di jalanan untuk melihat tentera Jepun membersihkan bandar.

Tentera-tentera British pula yang kebanyakannya dari India mengagih-ngagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak.

"Seluruh Tanah Melayu menyambut berita kekalahan Jepun dan kembalinya British dengan jiwa yang gembira.

"Ini kerana, selain menderita hidup dijajah Jepun, hakikat bahawa Jepun tidak melakukan apa-apa untuk kemajuan Tanah Melayu cukup mengecewakan.


BANDAR Hiroshima yang musnah dibom oleh tentera Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945.

"Ekonomi negara ini sangat teruk semasa Jepun menjajah sehingga harga barang terlampau mahal.

"Duit Jepun iaitu 'duit pisang' juga seperti tidak ada nilai kerana ia dicetak sesuka hati," katanya. Kay Kim dilahirkan di Kampar dan dibesarkan di Teluk Intan.

Bercerita tentang tentera Jepun, Kay Kim mengakui kekejaman mereka. Beliau dan keluarga bahkan pernah melarikan ke dalam hutan untuk menghindari tentera Jepun.

Beliau juga menyifatkan tentera Jepun kuat, menggunakan peralatan senjata setanding Barat, berstrategi rapi dan setia kepada maharaja.

Pedang

"Mereka mungkin kejam dan kasar kerana mereka tentera. Orang Jepun yang datang ke negara kita bukan orang awam.

"Mereka kasar dan ganas kerana mereka memang dilatih sebagai tentera.

"Mereka juga kuat. Kalau mereka tak kuat macam mana mereka boleh tenggelamkan dua kapal perang British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse? Mereka menakluk negara kita hanya dalam masa dua bulan.

"Apabila Jepun kalah dan maharaja Jepun arahkan mereka serah kalah, mereka mengaku kalah atau bunuh diri dengan melakukan harakiri iaitu menikam perut sendiri dengan pedang samurai mereka," kata Kay Kim.

Beliau turut menjelaskan penjajahan Jepun ke Asia Tenggara juga adalah berikutan tindakan Barat menyekat bekalan minyak ke Jepun yang telah bergelar negara industri sejak akhir abad ke-19 lagi.

Ditanya apakah impak yang dapat dilihatnya selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, Kay Kim berkata:

"Dulu, bila saya hendak main bola sepak, padang-padang tiada pacat. Lepas Jepun datang, padang-padang sudah berpacat.

"Mungkin sebab banyak tanaman ubi kayu ditanam di padang-padang pada masa Jepun memerintah.

"Masa Jepun berkuasa, penduduk Tanah Melayu susah nak jumpa nasi, banyak makan ubi kayu sebab beras terlalu mahal," tambahnya.

Pelawak veteran berasal dari Klang, Selangor, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman turut berkongsi kisah peristiwa Jepun menyerah kalah itu.


BASIKAL yang digunakan oleh tentera Jepun.

Seingatnya, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Tak silap saya, ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri. Penduduk Tanah Melayu menyambut berita gembira pengunduran Jepun dalam suasana kesyukuran merayakan Aidilfitri.

"Pada masa itu, tiba-tiba saya lihat tentera Jepun sudah lesap. Selalunya nampak mereka berkawal di jalan-jalan.

"Apabila tentera British kembali, mereka disambut oleh orang ramai dengan berkumpul di tepi-tepi kedai dan jalan.

"Saya lihat tentera British yang mendarat dari Pelabuhan Klang berjalan kaki di pekan Klang sambil disambut gembira penduduk tempatan pelbagai kaum," kata Hamid, 78.

Berdasarkan akhbar lama, suasana yang sama juga dapat dilihat di Seremban, Negeri Sembilan. Bahkan, satu sambutan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negeri itu telah berlangsung bagi meraikan kekalahan Jepun dan mengalu-alukan kedatangan British.

Pengumuman

"Penduduk Tanah Melayu gembira kerana mereka membayangkan kehidupan yang lebih baik bersama British.

"Zaman Jepun, hendak makan pun susah. Belacan zaman British dulu, harga 5 sen sekati, zaman Jepun RM250 sekati!" dakwanya.

Berkongsi cerita tentang keperitan hidup semasa penjajahan Jepun yang pernah dilaluinya, Hamid berkata, sekolahnya telah dibom dalam serangan udara Jepun.

Beliau juga pernah ditempeleng oleh tentera Jepun gara-gara tidak tunduk hormat kepadanya.

"Kanak-kanak pun kena bagi tunduk hormat kalau jumpa tentera Jepun.

"Masa itu saya manalah tahu kena tunduk hormat kat dia. Kalau orang dewasa tak tunduk hormat, mereka kena hukum junjung batu tengah panas," ujarnya.

Jurnal turut menemui sepucuk surat lama pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu yang bertulisan jawi di Arkib Negara Malaysia yang antara lain menyatakan: Tentera-tentera Jepun di serata tempat telah mengaku kalah. Tenteranya telah dihapuskan oleh tentera British yang ke-14 di Burma. Tenteranya yang lain yang mempertahankan tanah airnya dari Ayujima dan Okinawa telah dikalahkan jua oleh tentera Amerika.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Majid Ismail, 89, juga mempunyai kisah tersendiri berkenaan peristiwa pengunduran Jepun dan kedatangan British.

Beliaulah antara yang membuat pengumuman memberitahu British kembali di stesen radio Kuala Lumpur pada masa itu.

Sebagai individu berpendidikan yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau diserap menjadi pegawai penerangan oleh Pentadbiran Militari British.


SURAT pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu.

Selain membuat pengumuman di radio, Abdul Majid juga pergi membuat pengumuman di kampung-kampung sekitar Kuala Lumpur sehingga Melaka.

Memandangkan cara hebahan maklumat pada zaman dahulu tidak secanggih sekarang, maklumat terpaksa disebarkan dengan cara begitu selain melalui surat.

"Saya buat pengumuman dari kampung ke kampung dengan menaiki jip. Selama tiga bulan diperlukan untuk melunaskan tugas itu.

"Dalam jip itu siap ada askar untuk keselamatan dan tukang masak! Saya membuat pengumuman termasuk tentang maklumat cari kerja kepada orang awam," katanya.

Saat diminta berkongsi apa yang dilaluinya semasa penjajahan Jepun, Abdul Majid yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur pantas berkata: "Saya tidak mahu mengingatinya."

Mungkin peristiwa Jepun yang mengebom dan menyerang kolejnya sehingga 14 rakan sekelasnya terkorban cukup berbekas dalam ingatannya.

Pada masa itu, beliau sedang menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Lebih menyedihkan apabila mayat-mayat yang sedang diuruskan jenazah mereka turut diserang dengan bom.

RM 6000

Peniaga raih RM6,000 sebulan

MENTAKAB 4 Sept. - Peniaga bazar Ramadan di negeri ini mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan jika mereka mengusahakannya dengan gigih dan cekap.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, perniagaan kecil yang diusahakan sepanjang bulan Ramadan mampu memberi 'duit raya' kepada golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, jumlah itu mencukupi bagi mereka menampung perbelanjaan hari raya bersama keluarga asalkan berusaha gigih dan rajin mencari duit.

"Walaupun hanya berniaga kuih, murtabak dan air, jika diusahakan secara gigih mampu meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM200 sehari," katanya ketika melawat bazar Ramadan bandar Mentakab di Jalan Moek Hee Kiang di sini dan program mengedar 1,000 bubur lambuk kepada penduduk sekitar daerah ini, di sini.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, peluang menambah pendapatan dengan berniaga sepanjang bulan Ramadan seharusnya digunakan sebaik mungkin peniaga terbabit.

Friday, September 3, 2010

Daun Ketum

Bertongkat cari ketum
Oleh D J Dolasoh

2010/09/03

GERIK: Walaupun uzur dan terpaksa berjalan menggunakan bantuan tongkat, seorang lelaki berusia 55 tahun sanggup menaiki kereta dipandu cucunya dari Kampung Raja, Besut, Terengganu semata-mata mahu mendapatkan bekalan daun ketum dari Kuala Ketil, Kedah.


RAMPAS...Mahad Nor (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Bagaimanapun, hasrat lelaki berkenaan bersama cucu lelakinya berusia 17 tahun untuk membawa pulang bekalan daun ketum itu ke kampungnya tidak kesampaian apabila ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya kira-kira jam 2.10 pagi, Isnin lalu.

Dalam sekatan jalan raya di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) itu, polis berjaya menemui 80 kilogram daun ketum diisi dalam lapan guni di dalam but kereta dipandu cucu lelaki berkenaan.


Ketua Polis Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata pihaknya terpaksa menahan kereta berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum memintas kenderaan itu dan menahannya di tepi jalan raya.


Beliau berkata, sebaik diperiksa, pihaknya mendapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu dan but kereta penuh berisi beberapa guni daun ketum.


“Selepas disoal siasat, lelaki berkenaan mendakwa baru balik dari mengubati kakinya secara tradisional di Kuala Ketil, Kedah manakala cucunya masih bersekolah dalam tingkatan lima di Besut.


“Lelaki berkenaan turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum basah dari Kuala Ketil, Kedah dan membawanya untuk dijual di pasaran tempatan selepas mendapat sambutan menggalakkan sepanjang Ramadan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.


Katanya, kedua-dua lelaki itu dibebaskan selepas dijamin polis sebanyak RM2,000 setiap seorang dan akan dibicarakan selepas menerima laporan daripada Jabatan Kimia.


“Kes disiasat didakwa di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda RM10,000,” katanya.


Mahad Nor berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Gerik dan Lenggong dengan tertangkapnya seramai 708 orang.


“Daripada jumlah itu, lapan daripadanya didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) Tahun 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati dan lapan lagi didakwa di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 yang dikenakan hukuman buang daerah.


“Dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM9,085 dengan paling banyak ialah jenis heroin sebanyak 256 gram,” katanya. Katanya, pihaknya akan terus membanteras pengedaran dadah ini dan sentiasa membuat pemantauan mengenai kegiatan itu selain berharap mendapat kerjasama daripada orang ramai.

Berhati2 Alat Solek

Racun kupas kulit
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat kosmetik terkemuka yang beroperasi sejak 10 tahun lalu diserbu penguat kuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam kerana membawa masuk secara pukal produk kecantikan beracun berkonsepkan ‘kupas kulit.’


RAMPAS...pegawai farmasi KKM merampas losen terbabit.
Berdasarkan siasatan, produk kosmetik yang diimport itu dibuat menggunakan bahan kimia berbahaya iaitu hidroquinone dan tretinoin yang diharamkan di negara ini selepas ia didapati boleh merosakkan kulit wajah selain menjadi punca kanser jika dipakai berterusan.

Sumber KKM berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dan serbuan kira-kira jam 11 pagi di semua cawangan di seluruh negara termasuk ibu pejabat syarikat kosmetik terbabit di sini.

“Berdasarkan ujian makmal, produk terbabit mengandungi hidroquinone dan tretinoin dalam kadar peratusan tinggi. Kesannya, pengguna akan mengalami kesan kulit mengelupas dan menjadi kemerah-merahan yang melampau.

“Hasil serbuan, KKM merampas losen yang mengandungi kimia berbahaya terbabit dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.

Menurutnya, hidroquinone dan tretinoin boleh mengakibatkan gatal, perubahan warna kulit dan kulit menjadi terlalu sensitif.

“Bahan kimia itu menyerap ke saluran darah dalam jumlah besar sehingga mendatangkan pelbagai kesan seperti pertuturan yang sukar difahami, muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan dan koma akibat kegagalan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan kesan keradangan dan barah kulit,” katanya.

Sumber itu berkata, kebanyakan pengguna yang memakai kosmetik mengandungi kimia itu biasanya akan terpedaya apabila merasai perubahan pada tona wajah mereka yang semakin cerah selepas beberapa hari memakai krim kosmetik itu.

“Tona kulit mereka akan berubah seolah-olah menjadi putih dan bersih, tapi ia tidak akan kekal lama kerana keadaan itu akibat hakisan lapisan kulit yang belum sempat matang. Dalam tempoh singkat apabila didedahkan kepada cahaya matahari, kulit itu akan menjadi buruk dan terbakar,” katanya.

Menurutnya, pengedar cuba mengelirukan pengguna dengan mendakwa losyen wajah itu dihasilkan daripada bahan semula jadi terpilih.

“Berdasarkan maklumat pada botol produk itu, ia didakwa berupaya menghilangkan kesan jeragat dan jerawat pada wajah pengguna tanpa mudarat.

“Jadi, pengeluar produk itu melakukan kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua,” katanya.

Sumber itu berkata, pejabat pengeluar produk terbabit pernah diserbu beberapa kali, namun mereka berdegil.

Berhati2 Berblog

Hassan Skodeng didakwa buat komen palsu

PETALING JAYA 2 Sept. - Blogger, Hassan Skodeng atau nama sebenarnya, Irwan Abdul Rahman (gambar) hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen palsu berhubung artikel TNB to sue WWF over Earth Hour di laman blog miliknya di Internet.

Irwan, 36, yang juga merupakan editor eksekutif ruangan Lifestyle & Entertaiment akhbar The Malay Mail membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Artikel tersebut ditulis dalam bentuk berita berdasarkan satu sidang akhbar palsu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang kononnya menyatakan bahawa syarikat itu akan menyaman Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) berhubung kempen Earth Hour.

Mengikut pertuduhan, penulis blog itu didakwa telah membuat dan memulakan komen palsu itu di laman blog http://nose4news.wordpress.com dengan niat hendak menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 6 dan 7 petang, 25 Mac lalu di pejabat akhbar tersebut di B-3A-01,02 & 03, Dataran 3 Dua, No. 2, Jalan 19/1 di sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengadu dalam kes tersebut ialah Pemangku Pengurus Besar Komunikasi Korporat TNB, Ismail Abd. Rahman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Badius Zaman Ahmad dan Zainulnahar Zakaria manakala Irwan diwakili peguam bela, Jahaberdeen Mohamaed Yunoos.

Pihak pendakwaan mencadangkan bapa kepada dua anak itu dibebaskan secara jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Jahaberdeen bagaimanapun memohon agar anak guamnya diberi jaminan dengan seorang penjamin tanpa perlu didepositkan sebarang wang kerana Irwan telah menyerah diri kepada pihak berkuasa sebaik sahaja mengetahui polis sedang mencari 'Hassan Skodeng'.

Peguam itu yang turut mendakwa Irwan merupakan penulis blog berbentuk satira pertama di negara ini yang dituduh atas sifat humornya menyatakan, anak guamnya itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak akan melarikan diri.

"Anak guam saya sudah mengetahui mengenai pendakwaan hari ini sejak seminggu lalu tetapi dia tidak melarikan diri walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian," katanya yang turut memberitahu, Penasihat Kumpulan Redberry Media Group, Datuk Ahiruddin Attan sanggup menjadi penjamin.

Hayatul Akmal sebelum membenarkan Ahiruddin yang juga penulis blog Rocky's Bru menjadi penjamin tertuduh sempat bertanyakan hubungannya dengan Irwan.

"Saya bos dia," ujarnya sambil memandang ke arah Irwan yang sedang tersenyum sipu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November ini.

Prosiding hari ini, tidak ubah seperti mini perjumpaan para penulis blog apabila beberapa penulis blog terkenal seperti Nuraina Samad (Nuraina A. Samad 3540 Jalan Sudin), Zakhir Mohamad (BigDog), Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella), Shamsul Yunos (My Anger, It May Be Yours Too) dan Presiden Perikatan Blogger Muslim, Zainol Abideen (Mahaguru 58) hadir bagi memberi sokongan.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarang dan Pengarang Berita akhbar The Malay Mail iaitu Yushaimi Yahya dan Muzli Mohd. Zin.

Sementara itu, Ahiruddin ketika ditemui memberitahu, dari satu segi, pendakwaan hari ini boleh dianggap satu perkara baik kerana ia boleh mengajar masyarakat mengenai tulisan berbentuk satira.

Ahiruddin, Irwan dan rakan-rakan blogger yang lain meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas wang jaminan dijelaskan.

Thursday, September 2, 2010

Kek Lapis



Jatuh cinta setelah merasainya

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my

Pekerja ARF Best Food menyediakan lapisan kek mengikut warna yang dikehendaki pelanggan.


Zaveen Lee menunjukkan kek lapis keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

JOHOR BAHRU 1 Sept. - Warna yang ceria dengan pelbagai corak membuatkan Zaveen Lee jatuh hati pada kek lapis Sarawak, meskipun dia bukan berasal dari Bumi Kenyalang.

Keunikan kek lapis Sarawak berbanding kek lain, membuatkan wanita berusia 39 tahun itu berminat untuk menghasilkan sendiri kek berkenaan.

Menurut Zaveen, semuanya bermula setelah seorang rakannya memperkenalkan keenakan kek lapis Sarawak kepadanya.

"Bila makan sedap, saya pun teringin nak buat sendiri. Mula-mula buat memang susah, sebab kek lapis ini lama nak siap. Adakalanya, saya ambil masa dua hari untuk siapkan," katanya.

Zaveen yang ditemui di kedainya, di Taman Baiduri, Perling di sini berkata, pada mulanya dia menjual kek lapis Sarawak dari rumah pada 2004 kepada rakan-rakan dan saudara mara.

Kini perniagaan kek lapis Sarawak buatan Zaveen yang dikenali dengan jenama Royal Indulgence berjaya dijual kepada orang ramai dalam 35 perisa.

Pemilik syarikat ARF Best Food itu berkata, hingga kini dia mempunyai kira-kira 30 ejen tetap yang mengambil tempahan kek lapis Sarawak daripadanya tanpa mengira musim.

Antara ejennya adalah di sekitar Johor Bahru, Batu Pahat, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.

"Ada yang menjadi ejen setelah merasai kek tersebut dan ada pula memohon untuk jadi ejen setelah membaca iklan yang saya buat dalam Internet.

"Disebabkan ramai ejen yang datang tidak menentu masa, saya memerlukan banyak tempat penyejuk beku. Sekarang ini saya ada lapan buah tempat penyejuk beku. Setiap satu penyejuk beku berharga kira-kira RM1,800," katanya.

Menurut wanita berasal dari Bukit Beruang, Melaka itu, kek lapis berkenaan perlu disimpan di dalam tempat sejuk beku bagi memastikan kualitinya terjamin.

Katanya, kek lapis yang disimpan dalam peti ais biasa hanya bertahan untuk tempoh sebulan, manakala di tempat sejuk beku, jangka hayat kek lapis boleh bertahan hingga setengah tahun.

Zaveen yang memeluk Islam lapan tahun lalu di Singapura berkata, walaupun menghasilkan 35 jenis kek, namun kek lapis masam manis dan coklat chip mempunyai permintaan tinggi.

Bercerita mengenai kepelbagaian corak kek lapis buatannya, Zaveen berkata, dia banyak melihat corak di dalam Internet.

"Memang pening kepala kalau nak fikir corak terbaru. Sebab itulah saya sering melayari Internet untuk melihat hasil orang lain. Apabila mendapat idea, saya akan ubah mengikut corak sendiri," katanya.

Menurutnya, paling banyak warna yang digunakan untuk menghasilkan corak adalah sembilan warna yang digunakan untuk kek lapis puncak kasih.

Katanya, pemilihan dan aturan warna turut membantu untuk menonjolkan keunikan corak kek berkenaan.

Zaveen yang mempunyai 10 pekerja dan lima daripadanya adalah pekerja sementara mengakui tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan sempena sambutan Hari raya Aidilfitri ini.

"Tempahan dibuka sejak bulan Julai lepas. Tidak cukup tangan saya dan pekerja hendak buat kerana untuk pelanggan tetap sahaja, kami perlu siapkan 2,000 buku kek untuk jualan raya.

"Walaupun tempahan telah ditutup, tapi kalau ada yang datang ke kedai untuk membeli, masih ada kerana saya memang sudah sediakan untuk pembeli walk in," katanya yang melabur sebanyak RM50,000 untuk memulakan perniagaan itu.

Zaveen berkata, walaupun terdapat saingan pasaran kek lapis Sarawak, dia tidak bimbang kerana pengguna lebih mengutamakan kualiti.

Kek buatannya dijual pada harga antara RM25 hingga RM60 bergantung jenis dan berat.

"Itu adalah harga standard seperti yang ditawarkan oleh penjual kek lapis lain di pasaran," katanya yang sering menerima kunjungan pelawat dari Singapura.

Bagi yang ingin menikmati keenakan kek lapis Royal Indulgence, boleh membuat tempahan menerusi talian 016-7227545 atau datang ke kedai di No. 18 Jalan Baiduri 1/2, Taman Baiduri, Johor Bahru.

Tandas 5 Bintang


Tandas awam lima bintang

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

PEMANDANGAN tandas di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Jasin yang mengambil inisiatif menyediakan tandas awam pertama bertaraf lima bintang di Taman Muhibah, Jasin.

JASIN 1 Sept. – Kebanyakan tandas awam sering dikaitkan dengan masalah kebersihan apabila keadaan persekitarannya dilihat kotor, busuk dan meloyakan.

Selain menyebabkan orang ramai tidak selesa, keadaan sesetengah tandas yang kotor juga memberikan imej buruk kepada pelancong.

Bagi membetulkan tanggapan buruk terhadap kemudahan tandas awam, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil inisiatif menyediakan tandas awam pertama yang bertaraf lima bintang di Taman Muhibah.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin (gambar) berkata, tandas awam itu mula beroperasi kira-kira lapan bulan lalu dan dibina berkonsepkan 1Malaysia.

‘‘Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal iaitu 50 sen untuk sekali masuk, namun ia berbaloi apabila memasuki tandas tersebut,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tandas awam Taman Muhibah mula dibina pada 6 Mei 2009 dan siap sepenuhnya pada 29 September tahun lalu melalui peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah RM115,000.

Menurut Murad, kemudahan tandas awam di Taman Muhibah itu merupakan salah satu program perintis pihaknya dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur yang terdapat dalam kawasan pentadbiran MPJ.

‘‘Tandas kedua bercirikan lima bintang akan dibina di Bandar Merlimau pada awal tahun depan sebelum diikuti kawasan perumahan lain yang akan dikenal pasti nanti.

‘‘MPJ sendiri melantik kakitangannya untuk menjaga kebersihan dan kualiti tandas awam ini bagi mengekalkan keindahannya setiap masa,” ujar Murad.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memberi keselesaan kepada pengguna di samping pelbagai program dilaksanakan bagi mendidik pengguna supaya menjaga kebersihan tandas awam.

Pada masa yang sama, beliau menyeru penduduk di daerah itu agar bijak menggunakan sepenuhnya kemudahan tandas awam yang disediakan di kawasan tersebut dan bersama memelihara kebersihan tandas di situ.

Awas Jalan Maut Banyak Di Pahang

LPT miliki laluan maut tertinggi di Pahang

KUANTAN 1 Sept. - Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mencatatkan kawasan maut tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak tujuh lokasi berikutan kekerapan berlaku kemalangan di laluan tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, laluan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan di LPT adalah di Kilometer (Km) 203-204, Km208- 209, Km211.9, Km182-183, Km159-163, Km95-105 dan Km117-118.

Berikutan itu, beliau mengarahkan supaya anggota polis mengawasi dan memantau laluan berkenaan sepanjang Ops Sikap Ke-22 ini.

"Kita menugaskan anggota polis bersama penguat kuasa lain supaya memantau kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22 peringkat negeri di Plaza Tol Gambang dekat sini hari ini.

Robiah memberitahu, tujuh lokasi terbabit merupakan antara 30 laluan maut yang dikenal pasti di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, 23 laluan maut lain adalah di Km36-48 Jalan Kuantan Maran, Km11-30 Jalan Kuantan Bypas (Perumahan Damansara) dan Km32-35 Jalan Kuantan-Kemaman di Kuantan.

Katanya, tiga laluan maut dikesan di Rompin adalah di Jalan Kuantan-Segamat iaitu di Km104-110 (Dara Teh), Km112-115 (Perantau Damai) dan Km120-124 (Selancar).