Friday, September 3, 2010

Daun Ketum

Bertongkat cari ketum
Oleh D J Dolasoh

2010/09/03

GERIK: Walaupun uzur dan terpaksa berjalan menggunakan bantuan tongkat, seorang lelaki berusia 55 tahun sanggup menaiki kereta dipandu cucunya dari Kampung Raja, Besut, Terengganu semata-mata mahu mendapatkan bekalan daun ketum dari Kuala Ketil, Kedah.


RAMPAS...Mahad Nor (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
Bagaimanapun, hasrat lelaki berkenaan bersama cucu lelakinya berusia 17 tahun untuk membawa pulang bekalan daun ketum itu ke kampungnya tidak kesampaian apabila ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya kira-kira jam 2.10 pagi, Isnin lalu.

Dalam sekatan jalan raya di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) itu, polis berjaya menemui 80 kilogram daun ketum diisi dalam lapan guni di dalam but kereta dipandu cucu lelaki berkenaan.


Ketua Polis Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata pihaknya terpaksa menahan kereta berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum memintas kenderaan itu dan menahannya di tepi jalan raya.


Beliau berkata, sebaik diperiksa, pihaknya mendapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu dan but kereta penuh berisi beberapa guni daun ketum.


“Selepas disoal siasat, lelaki berkenaan mendakwa baru balik dari mengubati kakinya secara tradisional di Kuala Ketil, Kedah manakala cucunya masih bersekolah dalam tingkatan lima di Besut.


“Lelaki berkenaan turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum basah dari Kuala Ketil, Kedah dan membawanya untuk dijual di pasaran tempatan selepas mendapat sambutan menggalakkan sepanjang Ramadan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.


Katanya, kedua-dua lelaki itu dibebaskan selepas dijamin polis sebanyak RM2,000 setiap seorang dan akan dibicarakan selepas menerima laporan daripada Jabatan Kimia.


“Kes disiasat didakwa di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda RM10,000,” katanya.


Mahad Nor berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Gerik dan Lenggong dengan tertangkapnya seramai 708 orang.


“Daripada jumlah itu, lapan daripadanya didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) Tahun 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati dan lapan lagi didakwa di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 yang dikenakan hukuman buang daerah.


“Dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM9,085 dengan paling banyak ialah jenis heroin sebanyak 256 gram,” katanya. Katanya, pihaknya akan terus membanteras pengedaran dadah ini dan sentiasa membuat pemantauan mengenai kegiatan itu selain berharap mendapat kerjasama daripada orang ramai.

No comments:

Post a Comment