Friday, September 3, 2010

Berhati2 Berblog

Hassan Skodeng didakwa buat komen palsu

PETALING JAYA 2 Sept. - Blogger, Hassan Skodeng atau nama sebenarnya, Irwan Abdul Rahman (gambar) hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen palsu berhubung artikel TNB to sue WWF over Earth Hour di laman blog miliknya di Internet.

Irwan, 36, yang juga merupakan editor eksekutif ruangan Lifestyle & Entertaiment akhbar The Malay Mail membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Artikel tersebut ditulis dalam bentuk berita berdasarkan satu sidang akhbar palsu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang kononnya menyatakan bahawa syarikat itu akan menyaman Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) berhubung kempen Earth Hour.

Mengikut pertuduhan, penulis blog itu didakwa telah membuat dan memulakan komen palsu itu di laman blog http://nose4news.wordpress.com dengan niat hendak menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 6 dan 7 petang, 25 Mac lalu di pejabat akhbar tersebut di B-3A-01,02 & 03, Dataran 3 Dua, No. 2, Jalan 19/1 di sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengadu dalam kes tersebut ialah Pemangku Pengurus Besar Komunikasi Korporat TNB, Ismail Abd. Rahman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Badius Zaman Ahmad dan Zainulnahar Zakaria manakala Irwan diwakili peguam bela, Jahaberdeen Mohamaed Yunoos.

Pihak pendakwaan mencadangkan bapa kepada dua anak itu dibebaskan secara jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Jahaberdeen bagaimanapun memohon agar anak guamnya diberi jaminan dengan seorang penjamin tanpa perlu didepositkan sebarang wang kerana Irwan telah menyerah diri kepada pihak berkuasa sebaik sahaja mengetahui polis sedang mencari 'Hassan Skodeng'.

Peguam itu yang turut mendakwa Irwan merupakan penulis blog berbentuk satira pertama di negara ini yang dituduh atas sifat humornya menyatakan, anak guamnya itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak akan melarikan diri.

"Anak guam saya sudah mengetahui mengenai pendakwaan hari ini sejak seminggu lalu tetapi dia tidak melarikan diri walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian," katanya yang turut memberitahu, Penasihat Kumpulan Redberry Media Group, Datuk Ahiruddin Attan sanggup menjadi penjamin.

Hayatul Akmal sebelum membenarkan Ahiruddin yang juga penulis blog Rocky's Bru menjadi penjamin tertuduh sempat bertanyakan hubungannya dengan Irwan.

"Saya bos dia," ujarnya sambil memandang ke arah Irwan yang sedang tersenyum sipu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November ini.

Prosiding hari ini, tidak ubah seperti mini perjumpaan para penulis blog apabila beberapa penulis blog terkenal seperti Nuraina Samad (Nuraina A. Samad 3540 Jalan Sudin), Zakhir Mohamad (BigDog), Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella), Shamsul Yunos (My Anger, It May Be Yours Too) dan Presiden Perikatan Blogger Muslim, Zainol Abideen (Mahaguru 58) hadir bagi memberi sokongan.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarang dan Pengarang Berita akhbar The Malay Mail iaitu Yushaimi Yahya dan Muzli Mohd. Zin.

Sementara itu, Ahiruddin ketika ditemui memberitahu, dari satu segi, pendakwaan hari ini boleh dianggap satu perkara baik kerana ia boleh mengajar masyarakat mengenai tulisan berbentuk satira.

Ahiruddin, Irwan dan rakan-rakan blogger yang lain meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas wang jaminan dijelaskan.

No comments:

Post a Comment