Thursday, September 2, 2010

Tandas 5 Bintang


Tandas awam lima bintang

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

PEMANDANGAN tandas di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Jasin yang mengambil inisiatif menyediakan tandas awam pertama bertaraf lima bintang di Taman Muhibah, Jasin.

JASIN 1 Sept. – Kebanyakan tandas awam sering dikaitkan dengan masalah kebersihan apabila keadaan persekitarannya dilihat kotor, busuk dan meloyakan.

Selain menyebabkan orang ramai tidak selesa, keadaan sesetengah tandas yang kotor juga memberikan imej buruk kepada pelancong.

Bagi membetulkan tanggapan buruk terhadap kemudahan tandas awam, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil inisiatif menyediakan tandas awam pertama yang bertaraf lima bintang di Taman Muhibah.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin (gambar) berkata, tandas awam itu mula beroperasi kira-kira lapan bulan lalu dan dibina berkonsepkan 1Malaysia.

‘‘Walaupun bayaran yang dikenakan agak mahal iaitu 50 sen untuk sekali masuk, namun ia berbaloi apabila memasuki tandas tersebut,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tandas awam Taman Muhibah mula dibina pada 6 Mei 2009 dan siap sepenuhnya pada 29 September tahun lalu melalui peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah RM115,000.

Menurut Murad, kemudahan tandas awam di Taman Muhibah itu merupakan salah satu program perintis pihaknya dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur yang terdapat dalam kawasan pentadbiran MPJ.

‘‘Tandas kedua bercirikan lima bintang akan dibina di Bandar Merlimau pada awal tahun depan sebelum diikuti kawasan perumahan lain yang akan dikenal pasti nanti.

‘‘MPJ sendiri melantik kakitangannya untuk menjaga kebersihan dan kualiti tandas awam ini bagi mengekalkan keindahannya setiap masa,” ujar Murad.

Menurutnya, pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memberi keselesaan kepada pengguna di samping pelbagai program dilaksanakan bagi mendidik pengguna supaya menjaga kebersihan tandas awam.

Pada masa yang sama, beliau menyeru penduduk di daerah itu agar bijak menggunakan sepenuhnya kemudahan tandas awam yang disediakan di kawasan tersebut dan bersama memelihara kebersihan tandas di situ.

No comments:

Post a Comment