Tuesday, September 7, 2010

Jualan Murah Konon

Awas! Taktik jualan murah

Saudara Pengarang,

JUALAN murah, harga runtuh, tawaran potongan harga 50 hingga 80 peratus merupakan ayat yang 'popular' terutamanya apabila menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi.

Ayat yang bakal menarik perhatian para pengguna itu boleh dilihat di merata-rata tempat sama ada dari sekecil-kecil kedai hinggalah ke kompleks beli-belah terkemuka.

Apa yang menjadi persoalan adalah sama ada benarkah jualan murah itu benar ataupun ia sekadar untuk mengaburi mata pengguna.

Sesetengah peniaga menaikkan harga barangan terlebih dulu kemudian baru membuat potongan harga. Inilah merupakan taktik jualan murah yang biasa digunakan oleh peniaga yang tamak dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Namun, tidak dinafikan tidak kesemua peniaga yang menipu pengguna tetapi tindakan segelintir peniaga itulah yang mencemarkan nama peniaga lain bak pepatah 'kerana nila setitik, habis susu sebelanga'.

Oleh itu, pengetahuan pengguna mengenai harga semasa bagi sesetengah barang amat diperlukan supaya mereka tidak terperangkap dengan taktik jualan murah.

Pengguna yang bijak sentiasa membuat perbandingan harga dan memantau harganya dari masa ke semasa supaya mereka tidak terperangkap dengan kejutan harga sesuatu barang.

Pengguna mempunyai kuasa membeli yang besar. Seandainya curiga dengan mana-mana harga sesuatu barangan meskipun ditanda dengan harga potongan harga atau sebagainya, mereka hendaklah bertindak dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula diharap dapat melakukan pemantauan yang lebih kerap bagi di kedai dan kompleks membeli belah ini agar tiada pengguna menipu pengguna atas nama jualan murah.

Tindakan yang tegas harus dikenakan kepada mana-mana peniaga yang didapati menipu termasuklah lesen perniagaan mereka digantung.

Kepada pengguna, mari kita bijak dalam berbelanja.

PENGGUNA BIJAK,

Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment