Wednesday, September 22, 2010

Nak Belajar Pun Kena Tipu


Kerani tipu pelajar Korea RM70,000


Jung Sook Yong menujukkan laporan polis yang dibuat selepas dipercayai ditipu oleh seorang kerani di Ampang, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Impian sekumpulan pelajar warga Korea untuk menimba ilmu di sebuah kolej di Gombak tidak kesampaian apabila mereka ditipu seorang ejen pendaftaran kemasukan pelajar di negara ini baru-baru ini.

Mereka mendakwa ditipu oleh seorang perempuan yang bertugas di kolej itu sebagai kerani yang berusia lingkungan 20-an.

Pengurus ejen pelajar Korea di Malaysia, Jung Sook Yong, 52, yang mewakili 13 pelajar Korea berkenaan berkata, beliau merupakan ejen yang menguruskan senarai pendaftaran kemasukan pelajar Korea ke negara ini.

"Saya telah menguruskan dan membuat segala pembayaran seperti tertera dalam surat perjanjian, namun sehingga kini pihak pengurusan kolej terbabit masih tidak memaklumkan tarikh kemasukan pelajar.

"Pihak kami mula rasa tertipu apabila tarikh tersebut sudah berkali-kali ditunda dan diberikan pelbagai alasan sejak Disember 2008 oleh individu terbabit," katanya ketika ditemui di perumahan Korea di Ampang dekat sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua pelajar di bawah pengurusan syarikatnya itu telah membuat pembayaran termasuk yuran kemasukan dan urusan pas lawatan pelajar.

"Saya telah membuat urusan dengan wanita tersebut dan setelah disiasat barulah pihak kami tahu bahawa dia hanyalah seorang kerani pengurusan kolej tersebut.

"Menyedari penipuan itu, pihak kami berjumpa dengan pengurusan kolej terbabit namun sehingga kini tiada tindakan dilakukan terhadap kolej terbabit," katanya lagi.

Menurutnya, selain mangsa mengalami kerugian kira-kira RM70,000, reputasi syarikatnya juga tercalar dan terpaksa membayar semula kepada pelajar terbabit.

No comments:

Post a Comment