Sunday, September 19, 2010

Tidur Dulu Lepas Mencuri

Perompak ditangkap selepas tertidur dalam rumah mangsa

PULAU PINANG 18 Sept. - Seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengaku sebagai pembantu kepada seorang Yang Berhormat ditahan polis selepas tertidur di rumah yang dirompaknya di Jalan Rumbia di sini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang kelmarin ketika mangsa yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah maktab perguruan bersama isteri serta anaknya baru pulang daripada bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mereka sekeluarga terkejut apabila melihat keadaan rumah teres dua tingkat itu berselerak.

Keluarga berkenaan kemudian memeriksa bilik tidur anak mereka dan menemui seorang lelaki tidak dikenali tidur nyenyak di atas katil.

Menyedari lelaki berkenaan merupakan pencuri, mereka mengunci rumah tersebut dan menghubungi polis sebelum beredar dari situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, sebuah kereta peronda polis yang kebetulan lalu di kawasan itu pergi ke rumah tersebut.

"Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri melalui tingkap dapur yang diumpil yang juga laluan sama dia masuk ke rumah tersebut. Kita berjaya menahan suspek kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua anak meninggalkan beg yang mengandungi hasil curi seperti barang kemas dan jam tangan bernilai RM10,000 milik mangsa akibat tergesa-gesa semasa cuba melarikan diri.

Tambah Kong Meng, suspek tersebut mempunyai 14 rekod kesalahan lampau melibatkan sembilan kes jenayah dan lima kes dadah.

"Polis turut merampas kereta suspek jenis Honda Accord yang diletakkan di depan rumah mangsa. Kereta berkenaan baru dibeli suspek dan semakan menunjukkan kereta itu didaftarkan atas namanya," ujarnya.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk premis tanpa mengakibatkan kerugian.

Hasil pemeriksaan air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah.

No comments:

Post a Comment